Nazri kritik pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN

Nazri kritik pelantikan Najib sebagai Pengerusi  Lembaga Penasihat BN

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Datuk Seri  Mohamed Nazri Abdul Aziz mengkritik pelantikan bekas presiden Umno, Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat gabungan itu.

Menyifatkan langkah itu sebagai regresif, Nazri meragui Najib, yang kembali popular dengan fenomena ‘bossku’, boleh menasihati BN.

“BN kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang dia boleh sumbangkan kepada kita?” katanya kepada pemberita di Parlimen seperti dipetik FMT hari ini.

Nazri juga tidak yakin Najib boleh membaik pulih prestasi Umno.

 “Saya tak rasa macam tu,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata pelantikan Najib ini kemungkinan untuk memprovokasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata surat pelantikan Najib ditandatangani oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Najib.

“Mereka semua sedang didakwa di mahkamah,” katanya.

Semalam, majlis dewan tertinggi BN sebulat suara melantik Najib sebagai pengerusi penasihatnya, dengan tugas untuk membantu BN mendapatkan kembali sokongan rakyat.