Malaysia Dateline

Nazri tidak akan hadir mesyuarat, tidak kisah pelantikan ditolak

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata demi survival BN beliau tidak akan hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA Wee Kasiang dan Presiden  MIC Tan Sri S Vigneswaran  MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang.

“Jadi saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau mengulas  kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Presiden MCA  itu yang mengugut tidak akan hadir mesyuarat sekiranya beliau ada dalam mesyuarat berkenaan.

Jelasnya lagi, pemimpin kedua-dua komponen BN itu perlulah hadir dan diberikan peluang membangkitkan isu pelantikannya sebagai Setiausaha Agung BN sebelum ini.

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.

“Mesyuarat ini penting untuk mereka mengemukakan resolusi parti mereka, Jika mereka mahu bawa usul tinggalkan BN ia akan diputuskan dalam mesyuarat ini.

“Saya juga nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan sebab mereka tak setuju,” katanya.

Bagaimanapun bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ditolak sebagai setiausaha agung BN.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya lagi yang menyatakan beliau akan hadir.

Isnin lalu, MCA dan MIC menegaskan hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kepemimpinan dua komponen BN menjelaskan, mesyuarat bersama MCA dan MIC telah membuat ketetapan bahawa pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN adalah tidak mengikut Perlembagaan parti itu.