Nazri tidak layak hadir ke Majlis Mesyuarat Tertinggi BN, kata Presiden MCA, MIC

Nazri tidak layak hadir ke Majlis Mesyuarat Tertinggi BN, kata Presiden MCA, MIC
(dari kiri) Datuk Seri Dr We Ka Siong dan Tan Sri S A Vigneswaran

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran, hari ini, bersepakat menyatakan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak layak menghadiri Majlis Mesyuarat Tertinggi BN yang bakal diadakan pada Jumaat ini.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz

Katanya pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung parti itu tidak mengikut Perlembagaan BN yang memerlukan setiausaha dilantik oleh Pengerusi setelah berunding dengan Dewan Tertinggi BN.

“Pelantikan Nazri tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan rasmi di dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Semalam, sekali lagi Nazri menggunakan gelaran sebagai Setiausaha Agung BN dan seperti biasa meneruskan kritikan terhadap MCA & MIC.

“Pendirian MCA & MIC ialah Nazri tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk membuat sebarang kenyataan atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung BN,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menegaskan sekiranya Nazri berdegil dan hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, maka kesahihan mesyuarat tersebut akan dipertikaikan.

“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA & MIC hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah,” katanya.