Nazri tidak mengenang budi, jangan angkuh, kata Khairuddin

Nazri tidak mengenang budi, jangan angkuh, kata Khairuddin

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dianggap sebagai seorang pemimpin yang tidak mengenang budi, apabila mendakwa sekiranya wujud parti baru disebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad liabiliti kepada pembangkang.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ketika Nazri berkhidmat di bawah pemerintahan Dr. Mahathir tidak pernah beliau membantah terhadap bekas perdana menteri itu.

“Nazri Aziz manusia yang tak tahu kenang budi. Tun Dr Mahathir lah yang mengacukan karier politiknya.

“Saya hairan kenapa dulu tak mahu tegur Tun kalau mantan PM ini tidak betul? Kenapa selepas puluhan tahun baru nak kata Tun itu tak betul dan ini tak betul?” soalnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai akan wujud parti baru di bawah kepimpinan Dr Mahathir tetapi kewujudan parti baru itu dikatakan oleh Nazri sebagai liabiliti kerana pakatan pembangkang tidak sehaluan dengan gerakan yang diketuai Dr. Mahathir.

Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam, Nazri juga dipetik membayangkan barisan kepimpinan parti baru itu kelak.

Katanya Mahathir akan menjadi presiden, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi timbalan. Manakala Datuk Seari Mukhriz adalah Ketua Pemuda,Tan Sri Rafidah Aziz Ketua Wanita, dan Khairuddin akan menjadi budak bancuh teh.

“Mulut Nazri aziz lebih pantas dari akalnya memikir. Dia angkuh dan  akan cakap melulu ikut sedap mulut saja tanpa berfikiran waras.

“Saya sendiri pun tak tahu menahu mengenai perancangan Tun nak tubuh parti baru tapi Nazri dah boleh buat pelbagai andaian rambang yang tidak berasas.

“Tapi tak menghairankan kerana itu lah perangai beliau yang melambangkan jatidiri tidak ilmiahnya. Ungkapan percakapannya hanya jadi bahan tertawa rakyat,” ujarnya yang turut mengakui tidak pasti apakah struktur parti baru itu kelak.

Khairuddin juga menjelaskan menteri pelancongan dan kebudayaan  itu harus menyedari kedudukan undi popular Umno-BN kini sekitar 48 peratus justeru sikap angkuh pemimpin Umno ini berterusan ujarnya, akan memburukkan lagi Umno di mata orang Melayu.

“Kita tidak hairan langsung dengan perangai angkuh dan fasik beliau

“Seandainya ditubuhkan parti baru kelak, sama-samalah kita lihat nanti keputusan PRU-14.

“Terlalu awal untuk Nazri buat sebarang komen rambang.Jangan terlalu yakin,” ujarnya yang menolak pandangan Nazri bahawa parti baru itu kelak prestasinya lebih teruk daripada Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah satu ketika dulu.

 

TAGS