Malaysia Dateline

NCI lulus lima projek pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM4.6 bilion

Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) memberi kelulusan kepada lima projek pembuatan dan perkhidmatan bernilai RM4.6 bilion bertempat di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Kelulusan pada 30 Jan itu untuk pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan serta industri automotif dengan 97.3 peratus daripada pelaburan tersebut dari Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).

Bakinya daripada syarikat Rekaan Litar Bersepadu (IC) Malaysia, menurut NCI dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya projek dengan nilai tambah tinggi itu melibatkan reka bentuk IC bagi produk litar bersepadu khusus (ASIC) untuk pembelajaran Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi yang selepas direalisasikan akan mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada negara.

NCI dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Pelabur asing kekal aktif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia. Perbelanjaan pelaburan, penggunaan swasta dan perdagangan akan memastikan pertumbuhan negara berada di landasannya.

“Bagi meningkatkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, MITI dan semua agensinya akan terus proaktif untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan dalam mewujudkan kemakmuran yang mampan untuk rakyat,” kata Darell dalam kenyataan itu.

Laporan prestasi pelaburan 2019 Malaysia dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama akan diumumkan pada 3 Mac di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), katanya.– BERNAMA