NCWO saran kerajaan PH lantik 30 peratus wanita bentuk kepimpinan pusat, negeri

NCWO saran kerajaan PH lantik 30 peratus wanita bentuk kepimpinan pusat, negeri

Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) meletakkan hasrat agar kerajaan Pakatan Harapan(PH) melantik sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita dalam pembentukan kepimpinan di peringkat kerajaan pusat dan negeri.

Setiausaha Agung NCWO, Omna Sreeni-Ong, dalam kenyataan, hari ini, berkata, mereka berharap kerajaan baharu akan terus memperkasakan wanita dengan melantik golongan itu di peringkat eksekutif, legislatif dan negeri selaras dengan Dasar Wanita Negara.

“Kita berharap kerajaan meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat eksekutif sebagai menteri Kabinet, di peringkat legislatif dalam Dewan Negara dan di peringkat negeri sebagai anggota exco.

“Pemerhatian awal pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), menunjukkan ramai calon wanita yang berwibawa memenangi hampir 13 peratus kerusi Parlimen berbanding hanya 10.81 peratus pada PRU13 yang lalu,” katanya.

Omna berkata berdasarkan rekod pencapaian, ahli politik wanita dalam PRU14, pihaknya yakin mereka mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

NCWO dianggotai oleh lebih 200 wakil NGO wanita dari seluruh Malaysia.

PH, yang membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU14, dijangka mengumumkan senarai anggota Kabinet esok.