Malaysia Dateline

Neelofa akui tersinggung netizen sebar foto Bilal, “bagilah saya sebagai ibu yang buat benda itu”

Pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa mengakui tersinggung dengan tindakan seorang pengguna media sosial yang menyebarkan rakaman video anaknya, Muhammad Bilal.

Tengahari tadi agak kecoh apabila seorang pengguna TikTok memuatnaik foto Bilal sedang didukung oleh usahawan tersebut di samping suaminya.

Ramai peminat yang sebelum ini ‘kempunan’ akhirnya dapat melihat foto Bilal setelah tersebar di media sosial.

Bagaimanapun tindakan berkenaan menyinggung perasaan lebih-lebih lagi Neelofa berpendapat apa yang dilakukan individu tersebut seolah-olah tidak menghormati dirinya dan suami sebagai ibu bapa Bilal.

“Macam inilah, sebagai seorang ibu semestinya benda tu (kongsi wajah) menyinggung perasaan saya. Kalau anda semua nampak Bilal di luar, tak akan saya nak sorok muka.

“Kalau anda kongsikan di media sosial, seperti tak hormati saya. Saya tak pernah halang ketika di luar.

“Kenapa nak buat sesuatu yang saya, sebagai ibu tidak buat lagi?,” luahnya ketika ditemui selepas sesi sidang media rancangan Next To Neelofa musim kedua di Astro, Bukit Jalil, petang tadi.

Menurut individu yang memuatnaik wajah Bilal, dia telah terjumpa pasangan tersebut di sebuah kaunter kerajaan dan Bilal sedang didukung oleh Neelofa.

Sementara itu Neelofa berkata, dia berharap masyarakat memahami sebab musabab dia merahsiakan identiti Bilal dan memohon ruang privasi dia serta keluarga dihormati.

“Saya sudah banyak sangat bercakap tentang perkara ini. Cukuplah, saya sudah penat. Banyak aktiviti dan program di luar sana melibatkan saya dan keluarga nanti.

“Kalau terserempak, saya tidak akan sorok. Tetapi, saya mohon hormati privasi saya dan keluarga. Saya dan suami sudah rancang untuk berkongsi wajah Bilal apabila tiba masa yang sesuai nanti,” ujarnya.