Malaysia Dateline

Neelofa nafi lawatan ke Langkawi untuk berbulan madu

Selebriti paling kontroversi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Neelofa menyangkal tuduhan kunjungannya ke Langkawi bersama suami, Haris Ismail atau PU Riz adalah untuk berbulan madu.

Bekas pengacara Meletop dan jutawan tersebut hari ini menegaskan lawatannya ke pulau peranginan popular itu sebenarnya atas urusan kerja.

Neelofa, 32, memberitahu perjalanan itu juga telah dirancang lebih awal dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan termasuk mendapat kebenaran polis.

“Saya ingin menyelesaikan semua perkara berkaitan kerja sebelum Ramadan ini. Syukur semuanya sudah berjaya dilunaskan. Sepanjang berada di sana, kami juga mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” lapor Harian Metro.

Sebelum ini, Neelofa menerusi InstaStory berkongsikan detik-detik bahagia bersiar-siar di Langkawi bersama suaminya.

Sejak 1 April lalu, penyandang juara Dewi Remaja 2009/2010 itu memuat naik beberapa video memaparkan dia dan PU Riz bersiar-siar sambil menaiki kereta kabel.

Dalam perkongsian tersebut, pasangan pengantin baharu itu dilihat cukup mesra dan berpegangan tangan sepanjang menghabiskan masa di atas puncak lokasi kereta kabel itu.

Keesokannya pula, Neelofa dan Haris dilihat seronok menaiki ‘jetski’ dengan mengelilingi dan menikmati keindahan pulau di sana.

Sebelum mereka keluar melakukan aktiviti tersebut, penghias majalah berprestij, Forbes Asia pada Mac 2017 itu sempat mempromosikan minuman botani keluaran jenama produknya, Nilofa.

Mengulas lanjut, Neelofa yang sebelum ini pernah mengesahkan dirinya berkawan dengan seorang kerabat diraja selain pernah menjalin cinta dengan Datuk Hans Isaac berkata, beliau memberi jaminan akan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Kerjasama itu termasuk dakwaan majlis pernikahannya di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang dikatakan melanggar SOP.

“Saya sedia bekerjasama (dengan polis). Namun, saya minta diberikan ruang untuk saya bantu siasatan sama ada saya melakukan kesalahan atau tidak. Biar saya selesaikan secara baik dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya respect (hormat) semua orang (media) di sini nak tanya benda yang sama. Namun, saya juga nak minta kepada rakan media yang lama saya kenal untuk berikan ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara profesional bersama dengan pihak yang berkenaan,” dipetik Harian Metro.

Neelofa berkata demikian pada majlis kerjasama sandal Fipper dan aplikasi The Noor di Putrajaya hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam reaksinya sebelum ini memberitahu pasangan terkenal itu akan dikompaun jika siasatan mendapati lawatan ke Langkawi mengingkari SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengenai kertas siasatan membabitkan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan pula, Abdul Hamid dilaporkan berkata, ia dijangka siap dalam minggu ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilapor berkata, pihaknya juga akan memanggil pasangan terbabit untuk dirakam keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan.