Malaysia Dateline

Negara dalam krisis: Perikatan Nasional dianggap kerajaan autokratik

Pemuda AMANAH Nasional mengkritik tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggap menyalahgunakan kuasa serta bertindak secara autokratik apabila enggan mengadakan persidangan Parlimen seperti biasa.

Walhal, Timbalan Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, negara luar masih mampu mengadakan sidang Parlimen dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Beliau turut memetik beberapa buah negara seperti Maldives, Canada, Uganda, Scotland, Filipina dan banyak negara yang sudah mula menjalankan sidang secara atas talian.

“Maka tiada alasan sebenarnya untuk tidak mengadakan sidang Parlimen melebihi satu hari untuk membincangkan pandemik Covid-19.

“Dari meminda Perlembagaan Persekutuan, membentangkan Rang Undang-undang sehingga isu di ceruk kampung, semuanya dibawa ke dalam Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen.

“Namun hari ini, peranan Dewan yang mulia tidak lagi berjalan seperti amalan biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau membangkitkan perkembangan kes berprofil tinggi terutamanya kes pembebasan anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Beliau berkata, inilah krisis kepimpinan negara yang dihadapi oleh rakyat di bawah pemerintahan kerajaan baharu.

“Sebuah kerajaan yang memerintah secara autokratik dan kuku besi, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik dan keluarga mereka.

“Kita juga tidak menolak sekiranya ‘tekanan-tekanan’ yang sebelum ini pernah dilakukan di bawah kerajaan kleptokrat Najib, akan diteruskan oleh Perikatan Nasional (PN),” ujarnya.