Malaysia Dateline

Negara hadapi krisis moral bila Najib dilantik pengerusi BNBBC

Negara disifatkan sedang berhadapan dengan krisis moral apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram dan rasuah, dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sepatutnya ini merupakan masa bagi ahli-ahli politik bersikap patriotik dengan menentang skandal 1MDB dan kleptokrasi.

Namun menurutnya, pemimpin politik MCA dan MIC sehingga hari ini masih tidak berani mengkritik skandal kewangan 1MDB dan masih lagi mahu membuktikan kes tersebut hanyalah skandal.

“Memasuki satu dekad hujung tahun ini, masih ada pemimpin politik terutama dalam Umno, MCA dan MIC yang begitu terpikat dengan skandal kewangan 1MDB sehingga mereka tidak bersedia untuk mengecamnya.

“Mereka juga mengambil kedudukan yang sangat kabur bahawa 1MDB harus dibuktikan sebagai skandal.

“Baru tiga bulan Najib disabitkan bersalah kerana rasuah. Mengapa pemimpin politik Malaysia mempunyai ingatan sangat pendek?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Kit Siang menegaskan, Malaysia telah mencatatkan kedudukan terbaik dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019 Transparency International (TI-CPI) pada Januari lalu.

Perkara tersebut katanya, merupakan satu antidot terbaik untuk keadaan suram negara ketika itu, yang diharapkan untuk menjadi pencetus penyampaian janji-janji reformasi pilihan raya Pakatan Harapan pada tahun 2020.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan, dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi BNBBC di Parlimen, adakah nanti Indonesia dan China akan mengatasi Malaysia sebagai negara yang berintegriti pada tahun 2030.

“Ini adalah persoalan yang harus ditanyakan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik sekarang,” katanya lagi.