Malaysia Dateline

Negara Islam perlu bersatu sebagai kuasa besar, kutuk kekejaman Israel

Konflik Israel-Palestin hanya dapat diselesaikan sekiranya negara-negara Islam bersatu dan tidak terpengaruh dengan peluang ekonomi bersama negara barat terutama Amerika Syarikat yang jelas memihak kepada zionis Israel.

Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, negara-negara Islam yang mempunyai keupayaan ekonomi seperti Arab perlu menjadi satu suara besar dan memberi asakan kepada Israel agar menghentikan dasar Apartheid terhadap rakyat Palestin.

Beliau juga mengingatkan untuk tidak mengulangi perkara lama iaitu cadangan solusi dua negara yang dianggap hanya untuk melepaskan batuk di tangga.

“Kita mesti cari cara dan hanya satu cara dapat dicapai, iaitu jika negara-negara Islam di Timur Tengah bersatu.

“Tapi mereka sekarang digula-gulakan dengan peluang perniagaaan bersama Amerika Syarikat, Israel dan negara maju yang lain.

“Inilah yang melalaikan dan melemahkan semangat negara Islam Arab terutama di asia sendiri untuk tidak beri sokongan dan pandangan serius,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook AWAN Nasional malam tadi.

Kamarul yang juga Senator Dewan Negara itu juga mengulangi pendiriannya bahawa solusi dua negara atau ‘two state solution’ tidak seharusnya dibangkitkan lagi oleh mana-mana negara terutama Malaysia.

Ini kerana katanya, sejarah membuktikan Israel tidak menghormati perjanjian dan resolusi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau menzahirkan kebimbangan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan solusi sedemikian yang menurutnya ia adalah harapan palsu di mana solusi itu ibarat ‘membeli masa’ untuk Israel terus melakukan kekejaman kepada rakyat Palestin.

Pada masa sama, beliau mengajak badan-badan bukan kerajaan (Ngo) yang menyokong perjuangan Palestin untuk terus mendesak kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh menangani konflik di tanah Islam itu.

“Kita jangan mudah dibeli dan disogok dengan pengaruh Israel untuk kuasa perniagaan. Saya bimbang negara kita pun tak bersemangat macam dulu lagi. Saya tak nampak harapan dalam solusi ini

“Ngo perlu terus mendesak kerajaan untuk bersungguh membantu. Beri bantuan kepada badan yang ada reputasi yang terbukti menyampaikan bantuan dan turun ke lapangan membantu rakyat Palestin,” katanya lagi.