Malaysia Dateline

Negara, kuasa, rasuah: Rangkaian hubungan yang membimbangkan

Berikutan laporan media yang mendedahkan kegiatan kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging – antaranya kangaru dan kuda yang tidak berstatus halal – untuk dijual sebagai daging halal banyak tumpuan dijuruskan kepada isu halal dan haram.

Bagaimanapun penghargaan ditujukan kepada wartawan NST di atas pembongkaran yang berpotensi membawa perubahan besar dalam sistem perolehan daging akan datang.

Pendedahan ini amat membimbangkan bagaimana kuasa dan rasuah telah bersatu dalam menjayakan suatu usaha dan lebih membeliakkan mata kerana ia berjalan selama 40 tahun.

Jika kita meneliti proses dan modus operandinya ternyata nilaian rasuah yang berlaku di negara ini telah capai ke tahap barah peringkat tiga atau empat kerana ia boleh menbawa negara ini dengan mudah dijual kepada negara asing. Ia membawa kepada rasuah sebagai budaya hidup kerana tanpanya kegiatan hidup tidak berfungsi.

Isu kartel daging melibatkan keselamatan daging import, integriti rantaian bekalan, loji penyembelihan tidak sah dan pemprosesan daging tidak halal.

Mereka yang terlibat dikatakan pegawai kerajaan yang bersubahat dengan syarikat bukan bumiputera menggunakan nama Islam jika tidak sika ia adalah secara proksi dan juga beberapa syarikat Bumiputera yang berada di semua peringkat rantaian bekalan.

Dalam hal ini sumber daging yang tidak sah yang dikesan termasuk daripada Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia.

Selain daging pejal, organ lain turut diseludup seperti paru, ekor, perut dan tulang leher dan pelbagai ternakan, kerbau, kuda dan kangaroo dengan kaedah sembelihan diragui.

Strategi sindiket ialah mengelakkan cukai dan membayar kos sijil halal. Motivasi sindiket adalah mengaut keuntungan daripada harga import murah dan dijual mahal di pasaran tempatan.

Modus operandi penyelewengan bermula di loji penyembelih di negara pembekal, di mana pegawai kerajaan perlu memberi pengesahan halal dan kualiti. Apabila ini sudah dilaksanakan, aliran masuk yang lain adalah mudah dan licin.

Apakah ahli politik dan kepimpinan kerajaan buat selama ini baik kerajaan dahulu dan sekarang) dalam mentadbir dan tata-kelola kerajaan yang mereka uruskan. Banyak isu dakwaaan rasuah dalam kalangan ahli politik terutamanya didapati banyak wang tunai berada di rumah mereka. Dari manakah datang wang tunai ini?

Isu kartel daging halal-haram yang didedahkan ini adalah petanda barah kronik telah menular di negara ini menjangkiti ahli politik yang berkuasa dan sistem pemerolehan mereka. Secara jujurnya ini bermakna sistem pemerolehan kerajaan adalah mudah ditembus dan dicairkan dan ia dapat dilihat daripada modus operandi di atas.

Betapa parah barah rasuah meresap dalam sistem kerajaan di negara di mana kuasa bersanding dengan rasuah dalam pernikahan yang haram tetapi halal pada pandangan mereka. Bak kata perpatah Cina, jika ikan telah busuk di kepala maka bagaimanapun ia akan merebak ke badan, cacing di perut menjalar ke ekornya.

Apabila kepala yang berkuasa sudah dirasuahi, maka para pegawai dan orang bawah tentulah turut mencontohi kepimpinan melalui teladan. Ini baru sindiket kartel daging bagaimana pula dengan rasuah lain yang sedang berjalan berada dalam sistem kerajaan yang masih belum didedahkan.

Sebelum ini kita telah didedahkan oleh pembongkaran kegiatan menjual MyKad kepada warga asing oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia turut membawa kepada penemuan mengejutkan apabila sindiket itu turut menjual kad pengenalan tambahan kepada rakyat tempatan.

Sindiket itu dikatakan mengenakan caj antara RM35,000 dan RM200,000 kepada rakyat Malaysia yang ingin memiliki lebih daripada satu MyKad.

Sumber berkata, penemuan itu dibuat hasil risikan dan siasatan susulan penahanan tiga orang, termasuk seorang wanita di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah ketika memproses MyKad untuk pelanggan, seorang ahli perniagaan warga China dengan mengenakan bayaran RM1.3 juta.

Bayangkan dua lelaki yang mempunyai akses kepada sistem JPN dan syarikat pengeluar MyKad, manakala seorang lagi adalah wanita yang dipercayai ejen pekerja asing.
Pelanggan China itu dipercayai sanggup membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia, atau kenaikan 900 peratus atau RM150,000 berbanding ketika ia didedahkan BH tahun lalu.

Laporan berita menyatakan di Pulau Pinang seorang pegawai JPN dan seorang lelaki bergelar Datuk antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown di sini hari ini atas 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing palsu dan diubah suai.

Januari lalu, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.

Kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat, selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan. Dalam kebanyakan kes orang Melayu lemah kepada wang, hiburan dan seks.

Dalam sebuah laporan media, seorang warganegara China memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa selain mendapat MyKad dan pasport Malaysia pada harga RM400,000, dia juga memperoleh lesen memandu daripada individu yang menguruskan permohonan pasportnya.
Ini belum mengisahkan rangkaian sindiket penyeludupan pendatang asing.

Manakah dia pemimpin politik Melayu Islam dari kerajaan Melayu Islam yang memerintah selama 51 tahun tampil bermati-matian berjuang menentang rasuah. Ini kerana mereka juga adalah sebahagian daripada sistem tumbuk rusuk, duit kopi dan “under table’ dan seumpamanya.

Tidak usah menamakan para pemimpin Melayu yang dihadapkan ke Mahkamah atas dakwaan rasuah apatah lagi yang telah didakwa bersalah melakukan rasuah, bagaimanakah pula dengan pemimpin bahagian, cawangan atau ketua pemuda.

Kuasa yang diamanahkah oleh rakyat semasa pengundian telah disalah gunakan, bayangkan barah rasuah telah menjangkiti pemimpin tertinggi, sederhana dan pemimpin kecil sehinggalah kepada kakitangan kerajaan, apa yang sangat mengelisahkan ialah dengan wang dan seks, boleh saja kedaulatan negara digadaikan kepada kuasa asing.

Masihkah anda hendak mengundi pemimpin sedemikian atau mahukah anda kerajaan yang bertambat dengan rasuah menang dalam pilihan raya akan datang?
—————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor.