Malaysia Dateline

Negara maju kini catat kes Covid-19 paling tinggi

Negara maju dan dikenali sebagai mempunyai sistem kesihatan dan perubatan yang baik kini mencatatkan jumlah kes Covid-19 paling tinggi.

Catatan kes Covid-19 di seluruh dunia hari ini. Negara maju paling banyak kes. Apakah kerana mereka dapat mengesannya manakala negara mundur tidak mengesannya tidak diketahui.

Amerika Syarikat, misalnya, kini memotong negara China dari segi jumlah pesakit Covid-19 apabila mencatatkan 85,088 pesakit berbanding China 81,285.

Jumlah kematian akibat virus ini juga meningkat dengan cepat di mana 1,290 kematian sehingga kini dengan 263 kematian dilaporkan semalam sahaja.

Jumlah pesakit semalam sahaja yang disahkan positif Covid-19 di negara maju itu adalah 16,877 berbanding dengan China sudah tidak mencatatkan sebarang kes baru sejak 5 hari lalu.

Negara kedua yang mengekori Amerika adalah Italy dengan jumlah pesakit 80,585 manakala jumlah kematian adalah 8,215, jauh tinggi berbanding China (3,287).

Semalam sahaja Italy mencatatkan kematian seramai 712 orang manakala kes baru yang dicatatkan semalam adalah 6,203.

Selain itu, negara-negara yang teruk dilanda wabak ini adalah Sepanyol (57,786 kes, 4,365 kematian), Jerman (43,938 kes, 267 kematian), Iran (29, 406 kes, 2,234 kematian) dan Perancis (29, 155 kes, 1,696 kematian).