Negara memang perlukan reformasi

Negara memang perlukan reformasi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan syabas kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin kerana mencadangkan agar diadakan reform atau transformasi di dalam pentadbiran negara pada masa ini.

Setelah kita mencapai kemerdekaan hampir enam puluh tahun masanya sudah tiba reform atau refomasi ini perlu diadakan.

Reform bererti pembaharuan.

Pembaharuan perlu dilakukan bila dirasakan apa yang ada pada hari ini sudah menjadi usang dan ‘tidak lagi bersesuaian dan sudah tak boleh dipakai lagi’.

Misalnya kuasa yang amat tertumpu kepada seseorang yang menjadi Perdana Menteri.

Di Malaysia seorang Perdana Menteri diberi kuasa untuk mencadangkan penjawat-penjawat utama di dalam pelbagai jabatan kerajaan.

Misalnya Perdana Menteri mencadangkan perlantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan lain-lain jawatan utama hinggalah ke jawatan-jawatan Pengerusi Risda, Felcra, Mara dan lain-lain.

Pendek kata Perdana Menteri boleh meletakkan orang dia di hampir semua jawatan utama di negara ini. Bukankah ini patut ditimbang semula? Mestikah seorang Perdana Menteri diberi kuasa yang begitu besar dan meluas sehingga beliau menentukan semua perlantikan jawatan ini.

Untuk perhatian kita semua, di Amerika Syarikat satu-satu jawatan penting misalnya perlantikan Hakim Mahkamah Persekutuan walau pun dicadang oleh Presiden tetapi mesti disahkan oleh Kongres.

Kalau Kongres dikuasai oleh parti yang berbeza dari parti presiden maka ‘berpeluhlah’ presiden untuk membuat perlantikan tersebut. Presiden dari parti Demokrat, Kongres pula dikuasai Republikan. Itu sistem di Amerika.

Akan tetapi kita di Malaysia perlu ada semacam ‘check and balance’ (semak dan imbang) untuk mempastikan seseorang Perdana Menteri tidak terlalu ‘berkuasa’ melantik siapa dan ke jawatan mana. Walau pun Yang di-Pertuan Agong yang melantik jawatan-jawatan utama ini, namun pada kebiasaannya cadangan dari Perdana Menteri akan mendapat pekenan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu satu prosedur yang melibatkan Parlimen harus dipertimbangkan. Rakyat boleh diberi peluang untuk membahaskan cadangan yang telah dibuat.

Satu lagi yang juga penting adalah kebertanggungjawaban atau ‘answerable’ satu-satu jabatan itu kepada pihak mana.

Ada jabatan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Amrin Buang melaporkan terus penemuannya ke Parlimen. Maka ahli-ahli Parlimen memperolehi maklumat dan boleh bersuara serta membahaskan isu-isu yang berkaitan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara. Rakyat dapat mengetahui corak-corak perbelanjaan di jabatan-jabatan kerajaan.

Tetapi bukan semua jabatan kerajaan terutama yang penting-penting ini menyediakan laporan mereka ke Parlimen.

Pada pendapat saya Parlimen harus dibenarkan untuk meneliti segala maklumat tentang laporan jabatan-jabatan kritikal negara supaya rakyat dapat maklumat terkini mengenai perkara-perkara yang dianggap penting.

Parlimen hendaklah bertindak selaku badan penapis dan menyemak secara teliti tentang apa juga perlantikan serta laporan yang nanti akhirnya akan membabitkan negara.

Tidaklah sesekali munasabah perlantikan dan maklumat yang melibatkan negara cuma dipertanggungjawabkan kepada seseorang sahaja.

Pepatah Inggeris ada menyebut, “power corrupts, absolute power corrupts absolutely”.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengutarakan perkara ini. Mudah-mudahan Allah SWT merahmati hajat kita ini supaya negara kita Malaysia selamat.

* Muhammad Muhammad Taib ialah bekas Menteri Besar Selangor dan kini menyertai PKR.

CATEGORIES