Negara perlu bina kekuatan dan daya tahan

Negara perlu bina kekuatan dan daya tahan

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata negara perlu membina kekuatan serta daya tahannya dan ini memerlukan pengukuhan penampan institusi dan juga keupayaan dalaman, lapor Bernama.

Kata beliau, sewaktu di BNM selama 35 tahun beliau sering memberitahu kepada petugas untuk menerima perkembangan politik seperti apa yang ada.

“Kenapa kita perlu menerimanya seperti itu? (Kerana) kita tidak mempunyai kawalan terhadapnya.

“Sudah tentu juga, perkembangan luaran perlu diterima seperti apa yang ada kerana ia bukan dalam jangkauan kita untuk mempengaruhinya dan justeru, apa yang paling penting untuk dilakukan adalah memperkuatkan daya tahan kita,” kata beliau menurut laporan itu.

Sebagaimana kesihatan jelasnya, jika ia lemah, kita akan terdedah kepada penyakit.

Zeti yang meninggalkan BNM pada April 2016 selepas menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun berkata demikian ketika ditanya sama ada perkembangan senario politik tempatan akan memberi kesan kepada sentimen pelabur.

Dilaporkan bahawa, dana asing memberikan reaksi kepada keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menjual RM2.48 bilion ekuiti tempatan selepas pilihan raya pada 9 Mei.

Menurut MIDF dalam nota penyelidikan berkenaan aliran dana pada 21 Mei, ini adalah jualan mingguan terbesar di Malaysia sejak minggu yang berakhir 23 Ogos 2013, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM2.90 bilion sementara hari pertama dagangan selepas PRU14 menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM682.6 juta.

Ditanya sama ada negara mampu untuk bertahan sewaktu tempoh transisi ini dan melawan ketidaktentuan ekonomi global, Zeti tanpa ragu-ragu berkata bahawa, Malaysia mampu menguruskannya memandangkan negara sudah berulang kali memperlihatkan daya tahannya.

COMMENTS