Negara perlukan generasi pemimpin holistik

Negara perlukan generasi pemimpin holistik

Malaysia amat memerlukan generasi kepimpinan holistik yang berupaya mentadbir dan mengurus negara dengan penuh tanggungjawab, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, pemimpin yang baik mesti terlebih dahulu berjaya dalam bidang pendidikan, kerjaya, kehidupan berkeluarga serta pegangan agama.

“Insan-insan yang mempunyai kualiti dan nilai-nilai ini boleh diyakini dan mampu menjadi pemimpin yang diharapkan tetapi bagaimana mungkin orang yang tidak berkeupayaan atau terlebih dahulu berjaya dapat membantu orang lain.

“Beta yakin generasi kepimpinan yang didambakan akan lahir dengan penerapan dan pemantapan nilai-nilai tersebut,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah merasmikan Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang dan Pengawas Terpilih sekolah-sekolah menengah kebangsaan (SMK) seluruh Perlis di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin kecemerlangan akademik merupakan faktor utama pembinaan tamadun bangsa yang mapan dan unggul selain kekuatan fizikal, mental akhlak mulia dan jati diri.

“Generasi muda yang dididik dengan nilai-nilai tersebut sejak kecil berupaya menghadapi gejala-gejala sosial yang merosakkan masyarakat,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah orang yang berjaya dalam apa jua bidang hendaklah menyumbang tenaga, idea dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang menyokong pembangunan bangsa dan negara.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai kepada pelajar SMK Syed Hassan, Kangar, Muhammad Radzi Ismail yang menjuarai kategori bawah 16 tahun Kejohanan Muay Thai Kebangsaan 2016.

TAGS