Malaysia Dateline

Negara perlukan pembangkang yang membina, bukan meruntuh

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, negara ini memerlukan pembangkang yang membina, positif, punya idea membangun, bukan pembangkang meruntuh, negatif dan menyebarkan idea yang merosakkan.

Beliau berkata demikian mengulas prestasi baik yang ditunjukkan oleh Tabung Haji (TH) selepas proses pemulihan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Tabung Haji semakin kukuh. Terbaru, keuntungan dicatat sebanyak RM1.3 bilion. Lebih 260,000 akaun simpanan baharu dibuka. Jumlah deposit keseluruhan TH kini ialah RM70 bilion.

“Agensi itu pernah ditohmah kiri dan kanan. Para pendengki kerajaan berharap TH terus bermasalah untuk jadi modal politik mereka. Tapi nampaknya hasrat itu tak kesampaian.

“TH ditohmah kononnya dikuasai oleh kafir yang diwakili oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Sentimen agama pun dimain. Habislah negara ini, di bawah PH semuanya dikuasai oleh kafir.

“Tohmahan itu bertujuan mengganggu usaha memulihkan TH tinggalan pentadbiran terdahulu. Dengan sentimen agama, pembangkang berharap usaha memulihkan TH akan gagal dan menjadi modal ceramah di pelusuk kampung,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Kata Ustaz Zolkharnain, beliau bukan ahli ekonomi tetapi pemulihan TH memberi gambaran institusi itu berada pada landasan betul dalam urus tadbirnya.

Pada masa yang sama katanya, beliau dapat melihat dan merasakan bahawa situasi ekonomi semakin baik apabila harga sawit turut meningkat dan barang keperluan harian masih dalam harga yang terkawal.

“Harapan saya ialah, negara ini terus aman dan bebas daripada bencana alam yang besar. Kedua-dua faktor itu penting untuk membolehkan negara terus bangun dan memecut untuk makmur dan maju.

“Namun pembangkang tidak akan berpuashati jika negara ini stabil dan makmur. Biarpun kemakmuran itu bakal melimpah untuk mereka nikmati bersama, dendam politik tetap mengatasi semua itu.

“Kalau boleh pembangkang mahu TH rosak, harga sawit merudum, harga barang melambung tinggi dan negara ini huru-hara, sebab semua itu mahu dijual dalam kuliah, ceramah dan usrah, kononnya PH gagal mentadbir negara,” kata beliau.

Tambahnya, beliau tetap percaya, walaupun kedudukan TH semakin baik, pembangkang bukan sahaja tidak gembira bahkan mereka tetap akan memberitahu pentaksub mereka bahawa TH gagal dan sedang dikuasai oleh orang kafir.