Negara perlukan reformasi tanah terbiar

Negara perlukan reformasi tanah terbiar

Import makanan negara termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dilaporkan mencecah puluhan bilion ringgit setahun dilihat sebagai tidak wajar jika mengambil kira keluasan tanah yang boleh diusahakan untuk tujuan pertanian tetapi tinggal terbiar.

Sebagai contoh untuk tahun 2015, import makanan adalah sekitar RM45 bilion. Import buah-buahan serta sayur-sayuran pada 2018, menurut perangkaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah RM8.5 bilion berbanding RM8.9 bilion pada 2017.

Kebergantungan kepada sumber makanan import terutama dari China, Thailand, Australia, India dan Afrika menyebabkan kita akan terperangkap dengan kenaikan harga makanan yang diimport yang sudah tentunya menyebabkan rakyat dibebani harga yang tinggi.

Hakikatnya, memang banyak tanah yang dibiarkan ditumbuhi semak dan belukar, tidak diusahakan atau dioptimumkan penggunaannya bagi tujuan menghasilkan keluaran pertanian.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Azima Abdul Manaf dalam kajian ijazah kedoktorannya pada 2006 yang meliputi Kuala Pilah, Negeri Sembilan mendapati 564 hektar tanah terbiar di daerah berkenaan.

Beliau menggariskan banyak punca berlakunya tanah pertanian terbiar di kawasan yang dikaji itu. Antaranya faktor undang-undang pemilikan, kepemilikan tanah yang bertindih, kekurangan pekerja untuk mengerjakan tanah pertanian, sikap penduduk yang lebih gemar bekerja di luar sektor pertanian dan usia tua.

Justeru, tindakan semua pihak amat diperlukan bagi mengatasi kemelut tanah terbiar ini agar dapat membantu kerajaan mengurangkan import makanan dan seterusnya boleh menjadikan kita menjadi negara pengeksport bahan makanan.

Statistik Tanah Terbiar

Statistik Jabatan Pertanian pada 2014 menunjukan tidak kurang 119,273 hektar tanah yang sesuai untuk pertanian tidak diusahakan dan terbiar di seluruh negara. Di Semenanjung Malaysia sahaja dilaporkan lebih kurang 117,198 hektar tanah terbiar.

Pahang mempunyai tanah terbiar paling luas kira-kira 34,293.27 hektar, diikuti Johor, 17,855 hektar, Perak, 14,507 hektar, Terengganu, 12,309 hektar dan Negeri Sembilan 10,309 hektar.

Antara keluasan tanah terbiar melibatkan Tanah Rezab Melayu, Tanah Adat, Tanah Pegangan Melayu dan Tanah Wakaf.

Jabatan Geosains pula menyatakan terdapat kira-kira kira-kira 73,000 hektar tanah bekas lombong di seluruh negara yang belum diusahakan dengan kemajuan sepenuhnya.

Manakala menurut Yayasan Waqaf Negara, pada tahun 2016, terdapat kira-kira 24,000 hektar atau 80 peratus tanah wakaf di seluruh negara yang masih belum dimajukan sepenuhnya.

“Justeru, sudah sampai masa usaha secara bersepadu perlu dijalankan untuk mencari jalan keluar terhadap masalah ini,

“Walaupun tanah yang luas tidak menjamin dapat meningkatkan keluaran hasil pertanian namun keluasan tanah merupakan salah satu faktor yang menjadi prasyarat untuk memajukan kegiatan pertanian secara komersil, bersepadu dan ekonomi berskala besar, “ Profesor Ekonomi Tanah, Universiti Tun Hussein Onn, Prof Dr Ismail Omar memberitahu Bernama baru-baru ini.

Dasar Pertanian Negara

Tanah yang dikategorikan sebagai tanah terbiar adalah tanah berimilik yang berkeluasan minimum 0.4 hektar atau lebih yang tidak diusahakan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Biasanya tanah yang dimaksudkan adalah di bawah kategori kegunaan pertanian.

Menurut Ismail Kanun Tanah Negara 1965, Seksyen 115 memperuntukkan pihak kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian boleh mengambil tindakan merampasita tanah berimilik sekiranya pemilik berdaftar tidak mengusahakan tanah berkenaan seperti yang disyaratkan dalam tempoh yang dinyatakan.

Begitu juga dengan syarat-syarat nyata seperti yang tertera pada dokumen hak milik yang diberikan.

“Undang-undang ini antara lain bertujuan menangani tanah terbiar supaya dapat memaksimumkan penggunaan tanah. Walau bagaimanapun kerajaan negeri yang mentadbir hal ehwal tanah sering berfikir panjang sebelum mengambil tindakan berkenaan walaupun ada undang-undang yang membenarkannya,” katanya.

Jelas beliau di Palestin, kerajaan British yang menjajah sekitar tahun 1920-an telah memperkenalkan Akta Pemilik Tanpa Hadir yang membenarkan pihak kerajaan merampasita tanah rakyat apabila tidak memajukannya.

Akibatnya, banyak tanah wakaf di Palestin diambil pihak kerajaan. Akhirnya, apabila pihak British menyerah kuasa kepada Regim Israel, banyak tanah wakaf yang dipindah milik kepada Yahudi.

Manakala di Kenya, Afrika, kejatuhan pengeluaran hasil pertanian sangat ketara pada 1990-an sehingga kepada paras negatif. Justeru kerajaan negara itu menggubal Dasar Pertanian Baharu dengan meningkatkan penggunaan teknologi, teknik pemasaran, storan, pengangkutan, pembungkusan dan sebagainya,” kata Ismail.

Di Taiwan pula kata beliau, dasar pertanian yang dikaji semula memberi penekanan terhadap dasar melindungi petani, memajukan lagi kegiatan pertanian, menjamin kualiti produk, menggiatkan usaha pemasaran dan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pertanian.

“Usaha yang dilakukan menunjukkan perkembangan yang baik dalam keluaran pertanian mereka,” tambahnya.

Di Malaysia, Dasar Pertanian Negara (DPN) digubal pada 1984. Terdapat tiga peringkat DPN iaitu DPN1 (1984 – 1991), DPN2 (1992 – 1997). DPN3 (1998 – 2010) dan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Pada 2015 sektor pertanian menyumbang sebanyak RM90 bilion atau kira-kira 8 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Angka ini masih perlu diperbaiki. Sesungguhnya sesebuah negara yang tidak dapat menampung keperluan makanan penduduknya adalah sebuah negara yang lemah.

“Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius adalah sikap masyarakat yang masih tidak melihat nilai ekonomi pada tanah menyebabkan isu tanah terbiar berlarutan sejak dahulu hingga kini,” katanya.

Optimum pengunaan tanah terbiar

Menurut Ismail walaupun ada usaha yang dilakukan untuk menangani isu tanah sama ada di pihak kerajaan, pemilik tanah dan pengusaha tetapi ianya masih agak perlahan.

Justeru, konsep Buku Hijau, sahabat tanah dan sebagainya perlu dikemukakan semula.

“Apalah salahnya menghidangkan air kelapa muda di hotel 5 bintang “ tanya beliau.

Isu utama yang berlaku bukan sekadar keadaaan fizikal tanah yang terbiar tetapi produktiviti yang tidak dapat diserlahkan pada tahap yang tertinggi dan terbaik daripada tanah yang berpotensi tersebut.

“Daripada sudut yang lain, kita seolah-olah kurang bersyukur dengan apa yang Tuhan kurniakan. Dengan tanah yang subur dan tiada bencana alam yang melanda, pemilik tanah tidak mengusahakan tanah mereka.

“Begitu juga apabila tanah wakaf tidak dimajukan, bermakna hasrat orang yang mewakafkan tidak dipenuhi. Justeru, pentadbir tanah wakaf bertanggung jawab penuh terhadap perkara ini,” katanya.

Ismail yang juga Ahli Jawatankuasa Peringkat Eksekutif Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata tanah yang tidak diusahakan bukan sahaja merugikan pemilik tanah yang membiarkan tanah mereka terbiar tetapi juga masyarakat dan negara akan mengalami kesusahan apabila tidak ada hasil dikeluarkan.

Tiada sebarang pekerjaan yang dapat diwujudkan, tiada pertukaran asing yang diperolehi dan tiada cukai optimum yang dapat dipungut kerajaan. Sebaliknya, negara terpaksa mengimport berbilion-bilion Ringgit keperluan makanan rakyat daripada negara luar.

Akibatnya, kos sara hidup melonjak tinggi, katanya.

“Apabila produktiviti tidak dapat dikeluarkan daripada hasil tanah terutama hasil pertanian, barang-barang makanan menjadi kurang di pasaran dan menyebabkan harganya melambung tinggi.

“Sekiranya kita ingin mengurangkan kos hidup yang menjadi rungutan dan bebanan rakyat, pihak kerajaan, swasta dan masyarakat harus berganding bahu mencari jalan untuk mengeluarkan sebanyak mungkin hasil daripada tanah terbiar ini,” tegasnya.