Malaysia Dateline

Bagi peneroka tanah rancangan yang masih mengeluarkan hasil, pastikan hasil getah itu dihantar ke PMG Felda kerana kerajaan menyediakan bantuan untuk penoreh menerusi Insentif Produktiviti Getah.

Negara Rahmah: Harapan penoreh getah

Bulan Disember saban tahun adalah mimpi ngeri bagi hampir 300 000 penoreh getah. Perasaan cemas ibu bapa berhadapan dengan musim persekolahan baru tambahan lagi sekiranya musim tengkujuh atau musim panas kemarau melanda.

Penoreh getah hanya mampu menoreh hanya satu pertiga hanya dalam setahun. Selebihnya hujan dan kemarau menyaksikan pohon getah yang basah ataupun daun getah yang luruh menyebabkan pekebun getah todak boleh menoreh.

Harga komoditi getah sekerap (cut lum) yang tidak berapa baik sekiranya kurang dari 3 ringgit sekilo akan menyaksikan suasana yang suram di dalam keluarga. Harga sekarang 2.50.

Bukanlah terlalu sukar bagi saya untuk memahami situasi penoreh. Saya dari keluarga penoreh. Malah hingga masuk universiti masih menoreh. Paklong, arwah pak ngah, pak lang dan makcik saya, membesarkan anak-anak dengan menoreh. Jiran tetangga dan adik beradik juga sama.

Memahami psikologi dan sosio ekonomi penoreh juga tidak sukar. Saya hanya perlu berjalan ke pasar (kami panggil pekan nat) pada hari sabtu dan ahad di Pekan Kuala Nerang dan Pekan Naka serta pasar malam. Menghirup secawan air limau nipis suam di kedai tomyam pada waktu malam ataupun bersembang dengan pekedai runcit kecil di kampung atau melayan peraih sekerap juga akan memberi gambaran situasi terkini ekonomi kawasan pedalaman ini.

Pernah pekan nat Kuala Nerang dan Naka akan kosong dari pelanggan. Semua peniaga mengeluh. Pelanggan yang ada hanya memilih barang-barang yang sangat perlu. Kedai tomyam akan bankrap. Pekedai runcit dan peraih getah akan mempunyai senarai panjang hutang orang kampung. Malah ada pelanggan yang hanya mampu membeli sekilo atau dua kilo beras bagi keluarga!

Institusi kewangan yang menawarkan pinjaman mikro seperti pajak gadai, Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN juga Ah Long akan didatangi oleh pekebun-pekebun ini bagi mendapat pinjaman mudah.

Wakil rakyat dan pemimpin politik juga akan dihubungi bagi mendapatkan sumber kewangan tambahan bagi menampung keperluan.

Apa yang saya sebut inilah gambaran kehidupan kampung yang bergantung harap dengan menoreh getah. Samada yang mempunyai kebun sendiri ataupun menoreh kebun milik orang lain.

Hasil menoreh sebulan di musim tengkujuh kadang-kadang hanya dua atau tiga ratus ringgit bagi keluarga kerana penoreh tidak boleh ke kebun di musim hujan. Sudah tentulah ia amat menyiksakan.

Kalimah rahmah diulang lebih 300 kali di dalam al-Quran. Salah satu aspek penting yang dijaja oleh kerajaan Pakatan Harapan diterajui oleh Amanah ialah rahmatan lil ‘alamin. Inilah yang disebut oleh Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 107. “Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Rahmah antara lain bermaksud kasih sayang. Inilah antara tujuan utama pengutusan Rasulullah SAW. Sifat rahmah yang dimanifestasikan dari kehidupan Rasulullah SAW itu sedang diangkat oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi mewujudkan sebuah model ‘Negara Rahmah’.

Sifat rahmah ini adalah satu dari tiga tungku dalam membangunkan kerangka negara rahmah ini.

Kita hubungkan rahmah ini dengan kehidupan realiti masyarakat. Negara rahmah tidaklah boleh dibangunkan dengan memisahkan realiti denyut keperluan rakyat marhein. Kita tidak boleh membangunkan sebuah negara fantasi.

Rahmah yang difahami oleh penoreh ialah mereka mampu membeli barang keperluan seharian tanpa perlu berhutang, mempunyai lebihan sumber kewangan bagi memiliki rumah sendiri yang selesa dengan bilangan ahli keluarga dan kenderaan yang memudahkan urusan hidup di samping keluarga tercinta.

Harga getah yang baik adalah satu rahmah. Timbal balik antara dasar rahmah kerajaan dan rahmah harapan penoreh itu adalah proses ‘top down’ dan ‘bottom up’ yang akan mempercepatkan pemahaman konsep rahmah yang dibawa oleh kerajaan.

Betul, kerajaan telah memperuntukkan ratusan juta bantuan bagi penoreh dalam persediaan musim tengkujuh. Juga ratusan juta bantuan berupa subsidi dan bantuan input pertanian. Namun bantuan itu tidak mencapai sasaran kerana hanya penoreh yang mempunyai hak milik sahaja yang akan mendapat bantuan itu. Bagi penoreh yang menoreh getah milik orang lain ataupun penoreh yang belum lagi mempunyai hakmilik atau geran kebun hanya akan berputih mata.

Inisiatif kerajaan yang memperkenalkan insentif pengeluaran getah juga masih belum mencapai sasaran. Maaih ramai yang belum membuat tuntutan dan pihak berkenaan perlu menyemak semula perlaksanaannya.

Kerajaan rahmah harapan penoreh getah ialah kerajaan yang sebolehnya mempunyai satu harga lantai bagi komoditi getah. Paras RM 4 (Empat Ringgit Malaysia) adalah munasabah bagi harga cut lum (sekerap) dengan situasi ekonomi hari ini. Bagaimana mekanismanya, kerajaan harus fikir bagi melahirkan masyarakat yang rahmah.

Melalui Lembaga Getah Malaysia, kajian perlu dilakukan dengan agresif agar, penoreh mampu menoreh walaupun di musim hujan mahupun kemarau. Klon yang lebih mesra kemarau dan teknologi canggih perlu digunakan di musim tengkujuh membolehkan penoreh terus boleh bekerja mencari sesuap nasi menyara keluarga.

Pekan nat dan pasar malam akan kembali hidup. Kedai-kedai tomyam akan hidup dan peluang kerja akan wujud. Pekedai runcit dan peraih getah akan kembali senyum ceria. Penoreh dan keluarga akan memahami dan menyokong Kerajaan Rahmah. Kerajaan Pakatan yang penuh kasih sayang. Kerana kerajaan rahmah itu sedang menjaga ‘nyawa’ mereka. Nyawa mereka ialah getah itulah…

Beliau merupakan Pengarah Syariah AMANAH Kedah dan Ketua AMANAH Padang Terap