Malaysia Dateline

Negara rugi besar singkir Mohamad Ariff

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berpendirian Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak harus disingkirkan dengan langkah membawa usul menamatkan lantikan beliau.

Menurutnya, institusi demokrasi negara yang sedang menuju ke arah lebih baik sebagaimana dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) akan mengalami kerugian besar jika penggantian tersebut berlaku.

Dalam pertemuannya semalam, Syed Ibrahim berkata Mohamad Ariff menyambut cadangan menggantikan beliau dengan sikap terbuka dan berlapang dada.

“Tan Sri (Mohamad Ariff) ternyata tenang meskipun sedar ketidaktentuan yang timbul dalam sidang Parlimen akan datang, terutama mengenai usul menggantikan beliau dan timbalannya, Nga Kor Ming.

“Cuma katanya, apa-apa usul boleh dikemukakan tetapi biarlah ia mengikut prosedur peraturan mesyuarat Parlimen. Go by the book lah.

“Menurut Tan Sri, ketika beberapa usul dikemukakan dalam sidang pada 18 Mei lepas, setiap pertimbangan terhadap usul panas dibuat dengan teliti tanpa memikirkan implikasi politik,” kata Syed Ibrahim.

Untuk rekod, terdapat empat usul yang dibangkitkan ketika itu di mana usul yang diterima Speaker ialah usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan usul melanjutkan sidang.

Dua ciri yang dipertimbangkan ialah sama ada usul bersifat kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Beliau berkata, banyak jasa Mohamad Ariff sehingga berjaya mengembalikan kewibawaan Parlimen sebagai institusi demokrasi terhormat yang bukan sahaja disanjung rakyat tetapi juga dipuji oleh serantau dan global.

Ujar Pengerusi PKR Johor itu lagi, Mohamad Ariff telah melaksanakan pelbagai usaha reformasi Parlimen antaranya menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas sebagai badan semak dan imbang.

Selain itu, beliau juga merakyatkan Parlimen melalui penganjuran seminar di bangunan Parlimen, dan bersikap adil dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Speaker.

Beliau juga katanya, telah memulakan kerja untuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen di samping menggesa pelantikan jawatan-jawatan penting dalam negara seperti SPR, SPRM dan SUHAKAM disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Saya bawa perkara ini untuk menjelaskan sikap Speaker, seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan.

“Beliau tidak memohon untuk dilantik sebagai Speaker tetapi apabila terlantik dan diberi amanah, beliau melaksanakannya seadil dan semampunya mengikut peraturan yang ditetapkan meskipun pernah menyingkir keluar seorang ahli Parlimen kerajaan daripada Pakatan Harapan.

“Saya juga masih ingat bagaimana beliau berjaya menguruskan beberapa debat panas antara ahli Parlimen,” jelas Syed Ibrahim lagi.