Malaysia Dateline

Negara sudah jadi represif selepas kes buku Tommy Thomas

Apabila membaca berita polis menyerbu syarikat penerbitan GB Gerakbudaya Enterprise dan merampas dua unit komputer dipercayai berkait memoir kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah dirasakan bahawa adakah kita akan menuju ke arah kecenderungan RSA iaitu Jentera Negara yang Represif (Repressive State Apparatus).

Setelah Revolusi 9 Mei 2018 bentuk tindakan represif ke atas media dan penerbitan tidak kedengaran lagi kerana negara sudah bebas daripada RSA tetapi dengan serbuan baru-baru, terasa pula seperti ada kaitan dengan RSA?

Semasa di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), perbincangan mengenai majlis media berjalan lancar dan menunggu masa untuk dirasmikan di peringkat kementerian tetapi selepas tukar kerajaan, rundingan penubuhan majlis media sudah berkubur.

Jika kita ada majlis media, kes TT dan Malaysiakini tidak dibawa ke mahkamah malah majlis media boleh menjadi badan penimbang tara dan arbitrasi bagi kes-kes seperti ini. Atau sekiranya dibicarakan majlis media boleh menjadi pemerhati semasa perbicaraan di mahkahmah.

Bagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) penubuhan majis media tidak lagi merupakan keutamaan kerana PN sedang bergelut dalam percaturan mengekalkan kuasa.

Polis mempunyai rasionalnya tersendiri dalam serbuan dilakukan, ia tertentulah berdasarkan laporan polis yang dibuat maka pihak Polis merasakan sesuatu tindakan harus dilakukan.

Namun jika bertanya kepada mereka atau kumpulan yang membuat laporan polis adakah mereka membaca buku tulisan TT, maka rasa tidak ramai atau tidak ada yang membaca.

Laporan tersebut dibuat lebih cenderung kepada sentimen atau prasangka daripada penilaian rasional. Lazimnya penghujahan harus ditentang dengan penghujahan. Adakah ada pihak yang pedas daripada pandangan TT itu?.

Bahkan menurut Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim karya TT yang kebanyakannya penuh dengan sangkaan, berlandaskan teori konspirasi, penghinaan kepada kumpulan tertentu, dan membingungkan.

Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berpendapat, biarpun kandungannya tidak berlandaskan fakta sebenar, tetapi ia tidak bermaksud perlu sampai ke tahap pembulian dan pengharaman buku tersebut.
Inilah yang dimaksudkan adakah tindakan pihak berkuasa itu seolah-olah membawa kecenderungan kepada RSA.

Apa sebenarnya Jentera Negara yang Represif (Repressive State Apparatus, RSA)? Dalam RSA, negara adalah jentera yang bersifat menindas (represif), instituisi negara yang digunakan oleh pemerintah sebagai alat untuk berkuasa dan menguasai rakyat.

RSA terdiri daripada pemimpin sesebuah kerajaan, kerajaan itu sendiri, pihak berkuasa, undang-undang dan sebagainya. Oleh itu dalam waktu ini sejauh manakah ia mempunyai kecenderungan adalah perkara yang harus difikirkan.

Fungsi asas RSA adalah untuk campurtangan dan mengambil tindakan yang berpihak kepada pemerintah dan sebarang tindakan yang ambil adalah dirasakan untuk kepentingan elit politik pemerintah daripada kepentingan awam dan rakyat.

Apabila terdapatnya individu-individu dan kumpulan masyarakat yang mengucar-kacirkan susunan masyarakat yang dominan, sesebuah negara akan menggunakan RSA untuk membendung ancaman tersebut.

Oleh itu langkah-langkah paling lembut yang diambil melalui RSA adalah melalui sistem undang-undang di mana bahasa yang dianggap sebagai autoriti awam digunakan dalam mengawal tingkah laku seseorang dan masyarakat.

Sekiranya ancaman semakin meningkat, maka sesebuah kerajaan akan menggunakan langkah-langkah fizikal dan keras sebagai gerak balas, termasuklah pengerahan pihak berkuasa, hukuman berbentuk denda dan pemenjaraan.

Agak terkejut juga komponen tertentu PN yang pernah bersama PH mendukungi kebebasan media dan maklumat telah mengorak langkah seolah-olah mahu kembali ke zaman era BN dahulu.
——————
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikas, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)