‘Negara tidak boleh ada dua sistem pendidikan berbeza’

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan menyebabkan wujudnya dua sistem pendidikan yang berlainan.

Menurut Timbalan Presiden Pas berkenaan, pengiktirafan tersebut tidak wajar berlaku kerana hanya akan mengundang jurang antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Malaysia tidak perlu dua sistem pendidikan sebab itu boleh menimbulkan polarisasi kaum. Kalau kita mengiktiraf UEC bagaimana masyarakat kaum India, Iban contohnya, kalau mereka menuntut sistem pendidikan mereka pula?” ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengetengahkan isu kelayakan sijil Sekolah Menengan Persendirian Cina (SMPC) itu dalam perbahasan Dewan Rakyat.

“Kita akan bawa isu ini di Parlimen dan perbahasan ini akan menyentuh perlunya negara mempunyai satu sistem pendidikan kebangsaan.

“Kita tidak boleh mempunyai dua sistem pendidikan berbeza dalam sebuah negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau dan beberapa Ahli Parlimen Pas menerima serahan memorandum bantahan pengiktirafan UEC daripada Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) yang memuatkan lima tuntutan kepada seluruh Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut menyifatkan tidak adil apabila pihak kerajaan bercadang untuk mewajibkan pelajar UEC mengambil subjek Bahasa Melayu tetapi dikecualikan mengambil mata pelajaran Sejarah.

“Tidak boleh dalam satu kementerian ada dua pengiktirafan (UEC dan SPM/STPM). Satu negara perlu ada satu sistem pendidikan.

“Kita pun sudah merdeka lebih 60 tahun dan semua orang bercakap soal perpaduan negara dan soal besar perpaduan adalah pendidikan.

“Di peringkat kecil, kita perlu tanam muafakat dalam satu negara bukan membeza-bezakan di anatra kaum,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilihat kerap mendahului menterinya, Dr Maszlee Malik apabila yakin UEC akan diiktiraf sebelum akhir tahun ini.

Untuk rekod, terdapat 60 buah SMPC di seluruh negara dengan Sekolah Tinggi Foon Yew di Stulang Laut, Johor Bahru dan cawangannya di Kulai mempunyai lebih 10,000 pelajar.

Tidak seperti SPM dan STPM yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia, UEC diurus oleh Dong Zong sejak 1975 dengan menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama.

UEC yang lahir sejak 1975 adalah produk pelajaran aliran persendirian Cina yang menolak sistem pendidikan kebangsaan.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0