‘Negaraku Sehati Sejiwa’  dalam memahami erti kemerdekaan

‘Negaraku Sehati Sejiwa’ dalam memahami erti kemerdekaan

Kemeriahan sambutan kemerdekaan negara ke-60 bertemakan "Negaraku Sehati Sejiwa" memberikan pelbagai konotasi bagi beberapa pemimpin muda negara dalam menghayati dan memahami erti kemerdekaan yang sebenar dalam konteks Malaysia hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional (AMANAH) Faiz Fadzil  (gambar atas) berkata, kemerdekaan sebenar difahami pada asasnya sebagai sebuah negara yang tidak lagi dijajah dari sudut ekonomi dan politiknya.

Katanya, hari ini negara Malaysia berhadapan saat yang sukar dari sudut kepentingan ekonomi, politik dani urustadbirnya.

“Walaupun sudah 60 tahun kita merdeka negara semakin hari semakin berhadapan dengan cabaran yang mana rakyat semakin diuji dengan peningkatan kos sara hidup, cukai yang regresif dan kekangan demokrasi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Lantas beliau mememetik kata-kata Presiden Indonesia Sukarno yang pernah menyebutkan bahawa:”kemerdekaan itu ibarat rakyatnya mewarisi kemasyuran bukan mewarisi hutang.”

Faiz merujuk kepada jumlah hutang negara yang kini mencecah RM908bilion itu menunjukkan rakyat negara ini seolah-olah tidak berada dalam erti kata “kemerdekaan” yang sebenar.

“Ditambah ekonomi yang agak tidak menentu hari ini, kejatuhan nilai ringgit, skandal 1MDB yang tidak selesai membawa kepada peningkatan hutang dan tidak mungkin mampu dilunaskan dalam masa singkat.

“Apa yang diwarisi generasi muda hari ini dan masa depan adalah hutang negara,” ujarnya.

Justeru bagi beliau tema “Negaraku Sehari Sejiwa” seperti yang beliau impikan adalah sebuah negara yang dimiliki oleh rakyat negara ini. Tetapi ujarnya jika melihat dari sudut ekonomi sahaja “negaraku” ini ibarat milikan orang asing.

“Sepatutnya tema “Negaraku” ialah negara yang kita miliki. Kita tidak merasakan negara yang kita miliki dalam konteks ekonomi hari ini kerana kebanjiran warga asing hampir 6 juta orang mengisi segala peluang rakyat tempatan yang sebenarnya turut menjejaskan sektor perniagaan kecil dan sederhana.

“Hari ini kita maklumi hutang kerajaan bergantung kepada kuasa besar seperti negara China dengan tujuan untuk menampung hutang negara bukan dalam bentuk FDI (Pelaburan Lansung Asing) tetapi ia dijalinkan dalam bentuk hutang jangka panjang oleh negara.

“Sebagai rakyat negara ini, bagi saya ‘negaraku’ itu mestilah membawa rahmat kepada rakyat negara ini.

“Ia mestilah bebas daripada sebarang bentuk rasuah, kerajaan membina negara mementingkan aspek pembangunan insan, memberikan pendidikan percuma dan kebolehupayaan ekonomi negara menjana pendapatan rakyatnya, itulah Malaysia negaraku,” ujarnya.

{loadposition myposition}

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  (Gambar kiri) mengimbas diusia remajanya ketika berumur 12 tahun kibaran jalur gemilang masih kekal terpahat diingatannya dikibarkan di sepanjang jalan raya dan bangunan-bangunan komersil ketika menjelangnya hari kemerdekaan negara.

Namun beliau merasakan amalan mengibarkan jalur gemilang itu  tidak lagi menjadi keseronokan bagi kanak-kanak seusianya  ketika itu, pada hari ini,  untuk melihat  jalur gemilang  dikibarkan megah menyambut  ketibaan hari kemerdekaan negara.

“Dulu saya ingat ketika usia 12 tahun semua orang kibarkan bendera Malaysia di merata-rata tempat. Tetapi  beberapa tahun kebelakangan dan hari ini susah nak lihat walaupun kanak-kanak seusia saya mereka tidak dapat rasa seperti apa yang saya pernah rasa akan keseronokan tengok banyak bendera di merata-rata tempat.

“Hari ini susah nak lihat suasana begitu, memang tidak nampak  kemeriahan itu lagi. Hanya terdapat sebilangan pemilik bangunan dan rumah kediaman yang masih berminat mengibarkan bendera negara, itu jelas tidak menampakkan ‘sehati sejiwa’ dalam meraikan kemerdekaan,” ujarnya.

Syed Saddiq berpendapat ini memberikan petanda semakin terhakis semangat patriotisme perlu kerajaan tangani iaitu kecintaan terhadap jalur gemilang untuk di kibarkan pada hari kemerdekaan.

“Semangat patriotisma  daripada  rakyat  dan  semangat patrotisme kepada kerajaan adalah berbeza. Kerajaan harus memikirkan bagaimana semangat patriotisma ini perlu dipupuk dan dihidupkan dikalangan rakyat tanpa paksaan,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, “Negaraku”  yang dinginkan adalah  di mana rakyatnya membina semangat “kekeluargaan” tanpa dilihat dari segi perbezaan bangsa, agama dan bahasa.

Harris AMKPemangku Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang Harris Idham Rashid (gambar kiri) berkata, semangat patriotisme perlu dijelmakan kepada semangat sayangkan negara dan memastikan negara ini ditadbir oleh pemimpin  yang berkebolehan dan berkeupayaan mentadbir urus negara dengan baik.

“Tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’  tidak selari dengan realiti yang berlaku kini. Ini kerana pemerintah tidak menerapkan prinsip dan konsep kenegaraan yang selari dengan kepentingan rakyat negara ini dalam  bidang-bidang yang dianggap penting perlu dimonopoli rakyat negara ini.

“Amat terkilan apabila hari ini realitinya di bidang ekonomi terdapat kemasukan ramai kontraktor dari negara China yang sudah bertapak di Johor dan Melaka berbanding syarikat-syarikat tempatan kerana kerajaan yang memerintah hari ini tidak berpegang kepada prinsip dan konsep kenegaraan yang kita bina sejak di awal kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu,” ujarnya.

Tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan 2017  bertujuan untuk menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat berbilang kaum dan bersatu padu sebagaimana kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Salleh Said Kruak.

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Dalam tempoh 60 tahun kemerdekaan Malaysia telah dipimpin oleh 6  orang perdana menteri. Malaysia mempunyai 14 buah negeri kini mempunyai 30juta penduduk dengan kaum majoriti Melayu, Cina, India, bumiputra serta peribumi Sabah dan Sarawak.

Tradisi sambutan hari kemerdekaan ke-60  kali ini akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 8 pagi ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN ke-60.

 

 

CATEGORIES
TAGS