Malaysia Dateline

Kedudukan Mukhriz umpama telur di hujung tanduk

Negeri Kedah keutamaan saya, kata Mukhriz

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan dengan pemimpin nombor satu negara bukanlah satu tiket untuk kerajaan negeri mesti mempunyai pendirian yang selari dengan kerajaan pusat sepanjang masa.

Beliau berkata, ini kerana pendirian negeri Kedah dalam apa jua perkara atau isu mestilah dipertahankan.

“Walaupun ada hubungan kekeluargaan itu tetapi saya ingin jelaskan di sini bahawa saya terpaksa membuat keputusan yang memihak kepada negeri Kedah, adakalanya mungkin ada perbezaan sedikit dengan pendirian kerajaan pusat, apa pun, pendirian Kedah mestilah kita pertahankan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mukhriz berkata, beliau turut faham bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah perdana menteri untuk semua, dan bukan hanya untuk Kedah.

“Jadi tak bolehlah saya nak minta macam-macam,” katanya.

Mukhriz berkata tumpuan Kedah pada ketika ini adalah usaha mencari ‘sesuatu’ yang boleh menjadi katalis kepada pertumbuhan ekonomi dan sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Suka saya maklumkan bahawa memang ada sedikit sentimen di pihak perdana menteri untuk membantu Kedah, dia pun Anggota Parlimen di salah satu kawasan di Kedah dan kita akan cuba memohon bantuan dari beliau,” katanya.

Bagaimanapun katanya sebelum memohon apa jua bantuan daripada pusat, adalah penting bagi Kedah untuk mempunyai rekod baik dalam pengurusan kewangannya.

— BERNAMA