Malaysia Dateline

‘Negeri Pas’ catat Rt Covid-19 tertinggi sejak 17 April

Kelantan mencatat kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 harian tertinggi bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 17 April lalu dengan berada pada tahap 1.32 semalam.

Negeri Pas itu antara lima negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan iaitu 1.13 diikuti
Johor (1.22), Kuala Lumpur (1.20), Negeri Sembilan (1.17), Selangor (1.15) dan Melaka yang merekodkan Rt sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.13.

Labuan pula merekodkan Rt terendah, semalam dengan 0.88, manakala Perlis mencatatkan nilai kosong kerana tiada kes baharu, mengikut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin besar nilai Rt, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif. Contohnya, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham turut menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan dengan jumlah kes baharu terus mencatatkan angka melebihi 2,000 untuk tempoh 12 hari berturut-turut.

Data terbabit menunjukkan trend peningkatan penularan Covid-19 ketika ini berlaku lebih pantas, berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan jika Rt meningkat kepada 1.2.