Negeri pembangkang julung kali dipanggil ke mesyuarat Kementerian Pertanian

Menteri Pertanian Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub memberitahu mesyuarat di kementeriannya buat pertama kali turut melibatkan negeri-negeri pembangkang.

Katanya, Exco pertanian dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perlis juga hadir dalam mesyuarat yang diadakan di Putrajaya hari ini.

“Ini kali pertama mesyuarat di Kementeran Pertanian memanggil semua negeri termasuk negeri-negeri yang bukan diperintah Pakatan Harapan.

“Amalan sebelum ini, kementerian tidak memanggil negeri pembangkang tetapi isu keselamatan makanan ini merentasi parti politik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Penglibatan Exco dari negeri pembangkang itu, jelasnya, dapat memandu Malaysia Baru sesuai dengan hasrat rakyat yang menginginkan supaya perbezaan politik tidak menjadi penghalang untuk memajukan setiap aspek dalam kehidupan.

Untuk rekod, Pas menguasai Kelantan dan Terengganu manakala BN menjadi kerajaan negeri di Perlis dan Pahang selepas PRU-14.

Menurut Salahuddin lagi, penyertaan semua negeri penting bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di negara ini.

“Kita mahu satu sinergi baru yang dirasakan perlu untuk kita pacu dan mencapai objektif membekalkan makanan yang mencukupi.

“Hal ini akan dapat dilaksanakan dengan cekap oleh semua agensi dan badan-badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dengan kerjasama Exco di seluruh negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai itu mengingatkan supaya mekanisme penyampaian polisi dari Putrajaya ke negeri-negeri berjalan lancar.

“Saya tidak mahu berlakunya kerenah birokrasi atau halangan politik yang menganggu kelicinan pentadbiran dan operasi apabila kita menurunkan setiap dasar ke setiap negeri.

“Ini hasrat yang kita bincangkan bersama dan Alhamdulillah kita dapat membuktikan hari ini di mana semua exco pertanian hadir dalam mesyuarat penting pagi ini,” tambahnya.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS