Malaysia Dateline

Negeri Sembilan sedia tambah keluasan hutan simpan

Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) komited menambah jumlah keluasan hutan simpanan kekal (HSK) di negeri itu sebanyak 500 hektar lagi bagi memelihara dan memulihara mutu alam sekitar sekali gus meningkatkan ekopelancongan negeri.

Pengarahnya, Saleh Awaluddin berkata jumlah keseluruhan HSK ketika ini adalah seluas 155,000 hektar atau 23 peratus daripada keseluruhan negeri dan daripada 155,000 hektar itu, 60 peratus ialah hutan pengeluaran kayu dan 40 peratus hutan perlindungan termasuk tadahan air, hidupan liar dan penyelidikan.

“Ini antara usaha yang kita kena ambil, jaga kawasan hutan sedia ada dan bagaimana untuk memastikan ia kekal selain berusaha tambah kawasan berkenaan, walaupun sedikit tetapi itu yang terbaik. Begitu juga dengan hutan paya bakau yang dilihat semakin berkurang kini.

“Kita sudah kenal pasti kawasan yang terlibat antaranya kawasan tadahan air dan sekitar empangan cuma kini dalam proses mewartakan kawasan berkenaan…ia bukan satu perkara yang mudah dan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita selepas program pembukaan semula Taman Eko Rimba dan trek pendakian HSK di sini hari ini. 

Beliau berkata Taman Eko Rimba dan trek pendakian di negeri ini telah mula dibuka semula kepada orang ramai berkuat kuasa semalam termasuk Ulu Bendul, Batu Maloi, Jeram Tengkek, Gunung Datuk, Gunung Angsi dan Gunung Tampin.

Dalam pada itu, beliau berkata kerja baik pulih kemudahan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu, dekat sini, yang musnah dalam kejadian banjir besar Dis 2021 dijangka mula dilaksanakan pada Mac dan siap pada November ini menerusi peruntukan RM1 juta daripada kerajaan negeri.

“Namun ia hanya dibuka pada tahun depan, sebab nak pastikan betul-betul selamat. Kita tidak mahu dalam keghairahan industri pelancongan di negeri dengan orang ramai mula memenuhi lokasi tertentu, kita terlupa aspek keselamatan dan bahaya yang mungkin akan dihadapi,” katanya.

Hampir keseluruhan kawasan Jeram Toi termasuk kemudahan seperti pejabat, surau dan tandas musnah dalam kejadian banjir, malah struktur Sungai Toi turut berubah apabila dilihat semakin melebar dan airnya tidak lagi jernih.

Sementara itu, Saleh berkata JPNS menyasarkan hasil kutipan keseluruhan termasuk melalui permit memasuki HSK dan sewaan berjumlah RM10 juta pada tahun ini berbanding RM8 juta yang diraih pada tahun lepas.

— BERNAMA

Baca juga : Tampil dengan gaya berhijab, peminat doa Sarimah Ibrahim tutup aurat