Nekmat sumbangkan RM10,000 beri bantuan persekolahan anak nelayan

Nekmat sumbangkan RM10,000 beri bantuan persekolahan anak nelayan
Faiz Faiz (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak nelayan di Taiping, Perak kelmarin.

Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) telah mengambil inisiatif untuk membantu sebahagian besar anak-anak nelayan di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Nekmat telah mengeluarkan sejumlah RM10,000 sebagai sumbangan bagi meringankan beban keluarga menjelangnya hari persekolahan baru-baru ini.

“Kerjasama Nekmat dan Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) telah berjaya meringankan beban yang terpaksa ditanggung melalui sumbangan peralatan persekolahan kepada 100 pelajar Melayu dan juga Cina di Kuala Sepetang.

“Dengan sumbangan ini ia diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa nelayan yang sememangnya tergolong dalam golongan B40.

“Pemberian sebegini adalah salah satu konsep Rahmatan Lil Alamin yang menekankan konsep kepedulian kerajaan berasaskan ayat Al Quran ‘fastabiqul khairat’, ” jelas beliau lagi.

Faiz Fadzil bersama sebahagian anak nelayan yang menerima bantuan.

Tegas Faiz lagi, sumbangan yang diberikan tidak mengambil kira latar belakang kaum dan juga agama serta ideologi politik masing-masing.

Sebaliknya ujar beliau, nelayan harus memberi tumpuan yang serius terhadap pendidikan anak-anak agar evolusi perikanan dapat dipertingkatkan supaya industri perikanan terus berkembang.

Tambahnya lagi, apabila evolusi ini menjadi realiti, ia akan menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan pendapatan nelayan.

Loading...

Selain itu saran Faiz, nelayan perlu juga menumpukan bidang perniagaan hiliran bagi meningkatkan sumber pendapatan.