Nelayan Beladin mohon Kerajaan Pusat bantu selesaikan ‘Permit Khas’

Nelayan Beladin mohon Kerajaan Pusat bantu selesaikan ‘Permit Khas’
Para nelayan dari Kampung Beladin bersama Ketua AMANAH Kawasan Batang Lupar di Kuching hari ini.

Para nelayan di Kampung Beladin, Sarawak memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan ‘Permit Khas’ tangkapan ikan di kawasan mereka sejak tiga tahun lalu.

Menurut jurucakap Badan Bertindak Nelayan Kampung Beladin Abdul Hadie Bahrie, rata-rata nelayan di kawasan terbabit kini mengeluh kerana tidak dapat turun ke laut memandangkan keadaan cuaca yang bergelombang.

Ini kerana, katanya mereka merupakan nelayan yang memiliki Lesen A yang terpaksa menangkap di kawasan laut dalam dan bakal mengambil risiko sekiranya turun ke laut ketika keadaan ombak yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Justeru, jelas beliau berharap agar Kerajaan Pusat melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dapat membantu para nelayan itu dalam memberi ‘Permit Khas’ bagi mencari sumber pendapatan yang hampir di kawasan pesisir.

“Kami merayu dan memohon agar kerajaan dapat membantu mengeluarkan Permit Khas supaya kami dapat turun mencari sumber pendapatan untuk kehidupan keluarga kerana sekiranya turun ke laut pada masa ini, ia adalah amat berisiko.

“Permit Khas tersebut adalah lesen untuk kami menangkap ikan yang hampir di pesisir walaupun hanya dikeluarkan dalam beberapa bulan sahaja,” tegas beliau semasa ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketua AMANAH Kawasan Batang Lupar, Haji Kassim Rosli di Kuching hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Unit Penerangan AMANAH Sarawak, Mohtada Jol dan seramai 150 ahli-ahli nelayan dari Kampung Beladin.

Abdul Hadie menegaskan, sebelum ini pada 2017 kerajaan telah mengeluarkan permit tangkapan berkenaan hanya selama empat bulan iaitu dari November hingga Mac sahaja.

Bagaimanapun, katanya permit tersebut tidak lagi dikeluarkan selepas tarikh itu sehingga ke hari ini.

“Untuk itu, kami berharap pihak kerajaan dapat mendengar rintihan golongan nelayan ini lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ini yang bermula sejak November hingga Mac hadapan.

Sementara itu, Haji Kassim berharap akan bersedia membantu dalam menyelesaikan masalah nelayan di kampung terbabit dengan menjemput Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadhil nanti.

“In shaa Allah…kita akan menulis surat kepada beliau untuk hadir berdialoq dan bertemu dengan golongan nelayan di sini nanti.

“Dan saya yakin beliau akan mencari masa dan peluang untuk datang ke Sarawak bagi menjelaskan isu-isu yang berkaitan dengan nelayan di negeri ini,” kata beliau.