Malaysia Dateline

Nelayan P. Pinang digesa cat bot warna biru muda

Nelayan di Pulau Pinang digesa mengecat bot masing-masing dengan warna biru muda sebagaimana saranan Jabatan Perikanan Malaysia.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar, berkata penetapan warna bot yang berlainan bagi setiap negeri diambil sebagai langkah mengenal pasti bot nelayan tempatan dan memelihara kawasan menangkap ikan para nelayan tempatan.

Katanya, pihaknya meminta semua persatuan nelayan di negeri ini memberikan kerjasama kepada nelayan dalam usaha melaksanakan peraturan baharu itu yang bakal dikuatkuasakan pada 2022.

“Tahun lepas di Pulau Kendi, kita ada labuhkan tukun tiruan yang berjaya menarik banyak ikan. Bila banyak ikan, perairan Pulau Pinang yang sepatutnya eksklusif untuk nelayan kita telah dicerobohi nelayan-nelayan dari negeri lain malah nelayan dari negara asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebersihan Pantai, Laut dan Sungai myKP ‘Save Our Sea’, hari ini.

Beliau berkata program itu dijalankan serentak di seluruh negara hari ini dan sebanyak 525 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpul sepanjang empat jam program berlangsung.

Dalam perkembangan lain, Noraisyah turut mengumumkan pihaknya telah meluluskan bantuan berbentuk unjam kepada Unit Nelayan Teluk Kumbar bagi tujuan pemuliharaan sumber perikanan di kawasan itu.

Jabatan Perikanan Pulau Pinang telah menyampaikan bantuan ‘Touch Point’ berupa kit keselamatan yang mengandungi beg kalis air, kit bantuan cemas dan lampu suluh sebanyak 60 unit yang bernilai RM10,000.

Terdahulu, pada program itu, Jabatan Perikanan Pulau Pinang melepaskan dua ekor penyu Agar masing-masing seberat lapan dan 11 kilogram perairan di sekitar Pantai Teluk Kumbar.

Noraisyah berkata kedua dua penyu betina yang berusia tiga tahun itu telah dibesarkan di Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR), Batu Maung.

“Tahun lepas kita telah melepaskan sebanyak 3,912 ekor penyu, majoritinya anak-anak penyu Agar ke perairan. Penyu memang mendarat dan bertelur di perairan kita terutama di Pantai Kerachut, Teluk Kampi, Teluk Ketapang, Monkey Beach dan Teluk Kumbar yang mana bukan semua negeri ada pendaratan (penyu).

“Kita dapat lihat penyu banyak mendarat di Taman Negara Teluk Bahang kerana tidak ada pembangunan dan perairannya juga terjaga. Kalau tidak dipelihara, kita yang rugi,” katanya.

— BERNAMA