Nelayan pantai di Perlis bantah pembinaan pelabuhan Kuala Sanglang
Gambaran pelukis mengenai Jeti Bersepadu Sanglang yang dijangka siap pada tahun 2020 di Majlis Pecah Tanah Jeti Bersepadu Sanglang di Jalan Pantai, Sanglang, Kangar, Perlis pada 2018 lalu.-Foto Kosmo.

Nelayan pantai di Perlis bantah pembinaan pelabuhan Kuala Sanglang

Kira-kira 5,000 nelayan pantai di negeri ini membantah projek pembinaan pelabuhan Kuala Sanglang yang didakwa mereka mengancam kawasan pembiakan ikan dan hidupan laut.

Pengerusi Biro Ekonomi Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PNNPs) Jasni Hashim berkata jika projek pelabuhan itu dilaksanakan semua hidupan laut kawasan itu akan pupus kerana tempat pembiakan mereka musnah.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengetuai 50 wakil nelayan daripada kawasan Kuala Perlis, Kuala Kurung Tengar,  Kuala Sungai Baru, Kuala Sungai Padang dan Kuala Sanglang mengadakan dialog dengan konsortium yang akan melaksanakan projek berkenaan di Kuala Sungai Baru dekat sini, hari ini.

Menurut Jasni, projek itu melibatkan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan (MBI) yang menyediakan tapak sementara pelaksanaan akan dilakukan oleh sebuah konsortium.

Pihak PNNPs dimaklumkan pelaksanaan projek itu melibatkan pengambilan kawasan perairan pantai sejauh empat kilometer dari pantai yang merupakan kawasan pembiakan hasil laut termasuk ikan kembung, ketam, udang dan siput.

“Semua hidupan laut yang membiak di situ kemudian membesar dan bergerak ke seluruh kawasan perairan pantai di negeri ini sejauh tujuh kilometer dari Kuala Sanglang ke Kuala Perlis bagi membolehkan para nelayan pantai membuat tangkapan,” tambah Jasni.

Menurut Jasni, nelayan-nelayan di negeri ini tidak menolak pembangunan tetapi janganlah pembangunan yang hendak dilaksanakan sampai menyekat rezeki mereka.

Beliau mendakwa pihak PNNPs tidak dimaklumkan awal mengenai cadangan membina pelabuhan itu, yang hanya diketahui bulan Ogos lepas, sedangkan projek itu dikatakan akan bermula Disember ini.

Katanya sehubungan itu sebuah jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan dan jika pihak-pihak terbabit akan meneruskan juga pembinaan, jawatankuasa berkenaan akan menganjurkan tunjuk perasaan sebagai membantah pembinaannya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis, Nurulhisham Yaakob memberitahu pelaksanaan projek itu hanya akan dibuat apabila mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

“Saya berharap semua nelayan bersabar kerana ia tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya akan dipastikan boleh menguntungkan semua pihak,” tegasnya.

— BERNAMA