Nelayan pesisir ditindas, persatuan jadi lubuk segelintir dapat habuan

Nelayan pesisir ditindas, persatuan jadi lubuk segelintir dapat habuan

Golongan nelayan pesisir pantai atau dikenali sebagai nelayan tradisi berdepan dengan pelbagai bentuk penindasan akibat gejala rasuah dan ketirisan dana kerajaan, dedah aktivis Jaringan Nelayan Pangkor, Mohd Norazmin Abdul Aziz, 32.

Beliau ketika ditemui Malaysia Dateline dalam satu forum terbuka sempena Hari Pekerja berkata, persatuan nelayan yang sepatutnya berperanan membantu meningkatkan sosio-ekonomi golongan sasaran hanya menjaga kepentingan segelintir individu sahaja.

“Penindasan yang nelayan pesisir alami tidak pernah selesai. Mereka tidak ubah bekerja untuk tembolok persatuan nelayan yang sudah dapat jutaan ringgit dana kerajaan setahun.

“Persatuan Nelayan Pangkor contohnya difahamkan dapat dana RM1.5 juta setiap tahun. Belum lagi dana dari Menteri Besar sebab itu kerusi Zambry.

“Malangnya bot yang dibeli, atas nama perseorangan bukan atas nama persatuan. Masalah majoriti nelayan pesisir lebih buruk apabila mereka tiada tempat bergantung selepas kerajaan bertindak menamatkan pemberian lesen sejak tujuh tahun lalu. Apa sebabnya, kita tidak tahu.

“Akibatnya, di kawasan Lumut dan Manjong, hanya ada 17 nelayan pesisir berdaftar dengan persatuan. Jadi, elaun kerajaan RM300 sebulan untuk nelayan misalnya hanya ahli berdaftar sahaja yang dapat sebab tiada lesen baru dikeluarkan,” jelasnya yang berjaya membentuk jaringan nelayan meliputi Pangkor, Segari dan Bagan Pasir sejak dua tahun lalu.

Projek loji nuklear turut usir nelayan pesisir

Mengulas lanjut tekanan dialami nelayan pesisir, Norazmin memberitahu penempatan dan kawasan mencari rezeki golongan nelayan tradisi turut terancam dengan pelbagai bentuk projek fizikal.

Sidang pekerja iniasiatif golongan anak muda dan mahasiswa berdekatan Pasar Seni sempena 1 Mei“Keluarga nelayan miskin ini dari semasa ke semasa dihalau dari kawasan mereka diami sejak bergenerasi lalu. Mereka pula dpindahkan ke rumah pangsa yang sudah semestinya tidak sesuai dengan situasi pekerjaan mereka,” ujarnya.

Paling menghimpit golongan nelayan pesisir, jelasnya lagi, apabila projek komersial membina hotel dan chalet semakin menghampiri laut sekaligus mengancam sumber pendapatan mereka.

“Sekarang contohnya penebangan hutan sedang berjalan di Teluk Senangin untuk dijadikan kawasan pelupusan sampah. Di Pasir Panjang, dua kawasan hutan simpan kekal telah ditukar taraf berstatus zon industri berat.

“Betul-betul terletak berdepan dengan loji hidroelektrik Segari, kawasan itu difahamkan akan menjadi loji nuklear untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang selepas diluluskan di Parlimen pada 2008.

“Setakat ini ada dua negeri dicadangkan untuk projek nuklear itu, satu di Pahang dan satu lagi di Perak,” dedahnya ketika ditemui di dataran berdekatan Pasar Seni, di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, Norazmin yang juga bekas perenang marathon di Selat Melaka pada 2007 menyeru supaya ribuan nelayan tradisi bangkit memperjuangkan hak mereka sebagai pekerja yang berperanan penting membekalkan makanan kepada rakyat di negara ini.

“Ketika saya menjadi atlet dahulu, saya memang jatuh cinta dengan keindahan laut dan pantai serta kehidupan semulajadi serta masyarakat di sekelilingnya.

“Itu sebab saya tidak dapat terima bermacam-macam bentuk penindasan ke atas nelayan serta pemusnahan ekosistem laut. Saya bimbang semakin pupus khazanah alam dan sosio-budayanya yang kita dapat wariskan kepada generasi akan datang,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM459 juta bagi tujuan meningkatkan taraf hidup 108,000 nelayan pesisir di seluruh negara.

Walau bagaimanapun, sumber rezeki golongan nelayan tradisi semakin terancam termasuk kegagalan kerajaan menguatkuasakan larangan penggunaan ‘sport light’ serta mengawal pencerobohan bot pukat tunda tempatan di zon tangkapan nelayan pantai seperti berlaku di Pulau Pangkor.

TAGS