Malaysia Dateline

Nelayan Teluk Bayu luah rasa kecewa, Adun Pantai Merdeka tidak turun padang

Rata-rata nelayan dan pengunjung Teluk Bayu, Sungei Petani meluahkan rasa kecewa kerana Adun Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim dari Pas tidak turun padang bagi menyelesaikan pelbagai keperluan asas jeti nelayan di kawasan itu.

Tinjauan yang dibuat mendapati masih banyak kemudahan asas tidak disediakan oleh pihak berkuasa sehingga menimbulkan kesulitan bukan saja kepada nelayan kawasan tersebut, tetapi juga pengunjung yang mengunjungi kawasan tersebut.

Nelayan unit Batu Lintang, Kamis Hashim, yang telah 30 tahun menjadi nelayan ketika ditemui berkata, nelayan terpaksa mengumpul duit sendiri bagi membaiki sebahagian jeti yang tidak disempurnakan dengan baik.

Nelayan Teluk Bayu luah rasa kecewa, Adun Pas tidak turun padang
Nelayan unit Batu Lintang, Kamis Hashim

“Kami dah lama jadi nelayan. Banyak kemudahan tidak dipedulikan. Jeti yang usang termasuk papan yang dah uzur kami baiki sendiri bagi memudahkan nelayan naik turun ke laut,”kata beliau.

Sementara itu, Md Azmi Ismail yang juga merupakan nelayan selama 15 tahun berharap banyak kemudahan seperti bilik persalinan bagi nelayan disediakan.

Md Azmi Ismail

” Dah lama perkara ini dibangkitkan, tetapi sehingga kini masalah kemudahan asas ini telah memberi kesan amat sukar kepada nelayan termasuklah tiada kemudahan tandas di kawasan jeti nelayan ini,” ujarnya.

Manakala Timbalan Presiden Komuniti Peduli Insan, Sungei Petani, Azhar Zakaria yang turut turun padang mendesak Adun Pantai Merdeka supaya segera turun padang dan membantu menyelesaikan masalah terbabit.

Timbalan Presiden Komuniti Peduli Insan, Sungei Petani, Azhar Zakaria (Baju kuning)

” Masalah lebih besar ialah lampu jalan untuk masuk ke jeti nelayan ini tidak disediakan kecuali hanya tiang lampu tanpa kemudahan bekalan elektrik.

” Adun kawasan termasuklah pihak Exco Pelancongan seharusnya segera turun padang membantu menyelesaikan masalah ini kerana kawasan laut ini turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin berkayak dan ke Pantai Merdeka setiap minggu,” tegas beliau.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/umno-tidak-akan-jual-prinsip-untuk-genggam-kuasa-dengan-mahiaddin/