Nelayan tempatan dinasihat berhati-hati di dua ‘kawasan panas’ di perairan Perak

Nelayan tempatan dinasihat berhati-hati di dua ‘kawasan panas’ di perairan Perak

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati nelayan tempatan agar peka dan berhati-hati apabila menangkap ikan di dua kawasan di perairan Perak yang dikenal pasti ‘kawasan panas’ bagi mengelak bot mereka ditarik pihak penguat kuasa negara jiran.

Pengarah Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA) Lumut Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata dua kawasan panas itu adalah di perairan Pulau Jarak dan Kuala Kurau yang sering berlaku kes bot nelayan tempatan ditarik pihak penguat kuasa negara jiran sebelum ditahan.

Katanya kawasan 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak dan sepanjang kira-kira 40 batu nautika dari Kuala Kurau itu sentiasa menjadi lokasi tumpuan nelayan tempatan kerana di situ dikatakan banyak ikan.

“Kita menasihatkan supaya nelayan tempatan peka dan berhati-hati di kawasan itu biarpun kita sentiasa meronda di situ 24 jam kerana kawasan itu sangat luas.

“Malah kawasan itu juga menjadi tumpuan nelayan asing untuk menangkap ikan dan kita mahu nelayan tempatan sentiasa berhubung dan memaklumkan sekiranya terdapat nelayan asing menceroboh perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Perak yang disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Tan Kok Kwee di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Wan Mat yang sebelum ini Pengarah Maritim Negeri Perak dilantik sebagai Pengarah SWASLA menggantikan Komander Maritim Khoo Teng Chuan yang kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Swasla.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman pula kini dilantik sebagai pemangku Pengarah Maritim Negeri Perak.

Dalam pada itu, Wan Mat berkata pihaknya sentiasa dibantu pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi lain dalam memastikan sebarang pencerobohan tidak berlaku terutama di dua lokasi panas yang telah dikenal pasti itu.

Katanya komunikasi yang baik antara nelayan dan pihak Maritim Malaysia juga perlu dipertingkatkan bagi membanteras kehadiran nelayan warga asing dan juga aktiviti yang tidak dibenarkan di perairan negara.

“Kita ada kekangan aset tetapi kita berusaha untuk melindungi mereka (nelayan) dan nasihat kita supaya nelayan tidak berada terlalu jauh dari perairan kita supaya kita dapat lindungi mereka dengan lebih cepat sekiranya apa-apa berlaku,” katanya.

Sementara itu, Wan Mat dalam ucapannya berkata beliau berharap anggota Maritim Malaysia sentiasa memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian yang telah diperoleh.

“Kita juga seharusnya sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran dan rintangan khususnya dari segi mental dan fizikal kerana sebagai penguat kuasa di laut kita memerlukan tubuh dan fikiran yang sihat dan kuat,” katanya.– BERNAMA