Malaysia Dateline

Nelayan warga emas belanja hingga RM900 sebulan demi penghuni Pantai Kucing

Minat dan sayang kepada kucing sejak dibangku sekolah lagi menyebabkan Nana bin Wanchik, 63 tahun dari Teluk Bahang, Balik Pulau yang juga seorang nelayan menjadikan hobi beliau sebagai satu amalan jariah kepada haiwan hingga kini.

Menceritakan mengenai pengalaman beliau, Nana berkata, sejak berusia 10 tahun lagi beliau gemar memberi makan dan memelihara kucing.

Malah katanya, setiap hari pulang dari sekolah sekiranya terjumpa kucing yang berkeliaran, beliau akan membawa kucing tersebut balik ke rumah.

“Kerana minat tersebut sehingga kini, walaupun sudah berusia emas saya tetap sayang kepada kucing dan telah berjaya memelihara sebanyak 120 ekor kucing setakat ini.

” Sebagai nelayan, sekiranya berjaya mendapat sebanyak 10 kilo ikan, maka 3 kilonya akan disimpan bagi makanan kucing-kucing tersebut setiap hari.

” Ikan-ikan tersebut bukan sahaja diberi makan secara mentah, sebaliknya ia dimasak menjadi bubur dengan bahan campuran seperti beras, garam, gula dan ikan yang direbus.

“Setiap bulan kos yang perlu dibelanjakan adalah antara RM800 hingga RM900 sebulan,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua Rukun Tetangga, kawasan Teluk Bahang.

Kata Nana lagi, disamping itu ia turut mendapat sokongan berupakan makanan khas kucing yang didermakan oleh beberapa orang penderma bagi mengurangkan kos makanan yang terpaksa ditanggung beliau setiap hari.

Jelas beliau, setiap bulan ia memerlukan antara 15 hingga 16 paket makanan khas kucing seberat 10 kilo setiap satu.

Walaupun tidak mendapat bantuan kewangan atau dana dari mana-mana pihak atau pertubuhan, Nana tetap meneruskan minat beliau meskipun bergelar warga emas.

Baca juga ‘Saya minta mereka dipecat serta-merta’ – Anwar ulangi tiada tolak ansur kalau menteri rasuah

Baca juga Tergelincir masa mahu buang air besar, kanak-kanak tahan sakit setengah jam sebab kaki tersepit