Seorang wanita berumur 83 tahun dijatuhkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berzina.
Lebih mengejutkan, wanita berpangkat nenek yang dikenali sebagai F itu tergamak melakukan perbuatan tersebut bersama lelaki berusia 43 tahun lebih muda darinya.
Mengaku sudah berzina sebanyak dua kali, perbuatan mereka akhirnya terbongkar setelah jiran F terlihat lelaki tidak dikenali masuk ke rumahnya pada 20 Oktober lalu.
Khuatir jika perkara tidak diingini berlaku, jiran tersebut turut masuk ke dalam rumah F sebelum ternampak mereka berdua yang sedang melakukan hubungan terlarang.
Beberapa orang penduduk kemudian datang ke rumah itu untuk menangkap F dan pasangannya selepas jiran berkenaan membuat laporan kepada ketua kampung.
Nenek F dan lelaki yang dikenali sebagai Z itu dibawa penduduk ke balai raya untuk membuat pengakuan bertulis sebelum diserahkan kepada polis, lapor Tribun News.
Difahamkan, kejadian yang dipercayai mula berlaku kira-kira pada jam 8 malam itu terjadi di sebuah kampung terletak di Peukan Baro, Pidie, wilayah Acheh, Indonesia.
Mereka berdua kemudian dibicarakan di Mahkamah Syar’iyah Sigli sebelum Majlis Hakim yang diketuai oleh Dra Rubaiyah menjatuhkan hukuman pada Khamis lalu.
Hakim Dra Rubaiyah memaklumkan, F dan Z telah terbukti bersalah melakukan zina dan melanggar Pasal 33 Qanun Aceh nomor 6 Tahun 2014 tentang Hukum Jinayat.
Kedua-duanya dijatuhkan hukuman sebatan sebanyak 100 kali dan kekal dipenjara sekurang-kurangnya selama 30 hari hingga hukuman hudud sebatan dilaksanakan.
“Tertuduh Z dan F dijatuhkan ‘uqubat (hukuman) hudud sebat di depan umum masing-masing sebanyak 100 kali sebatan.” Kata Dra Rubaiyah memetik laporan Tribun News.