Nenek Aminah tidak dapat tidur

Nenek Aminah tidak dapat tidur
Aminah Kasbie, 89.

“Semalam tak dapat tidur,” kata pengundi warga emas ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang pagi ini.

Aminah Kasbie, 89, yang ditemani cucunya, Nurhidayah Abu cucu, 30, memberitahu sukar untuk melelapkan mata selagi tidak menunaikan tanggungjawab membuang undi.

Aminah yang tinggal di rumah anaknya di Taman Sri Pulai, Johor Bahru sejak dua tahun lalu menggunakan kerusi roda selepas jatuh.

Beliau mempunyai tujuh anak dan lebih 20 cucu.

“Nenek saya tak pernah lepaskan peluang keluar mengundi setiap kali pilihan raya,” kata Nurhidayah.

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai memilih wakil rakyat baharu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu.

Seramai 52,471 pengundi akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu hari ini, selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu yang mewakil Pakatan Harapan (PH) pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.