Nenek terkejut tengok cucu tak sedarkan diri dalam bilik air, kepala pula berada di dalam besen

Oleh KIM SYAZIE

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia dipercayai diserang sawan ketika berada di dalam bilik air di rumah neneknya.

Mangsa Nur Arisa Qaisara Abdullah, 11, ditemukan ahli keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12 tengah malam dengan kepalanya berada di dalam besen.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian berlaku di Sungai Pasir, Kedah dan kanak-kanak berkenaan ditinggalkan ibu dalam jagaan nenek kerana perlu pergi bekerja.

Keadaan kanak-kanak itu yang difahamkan kerap sawan juga memudahkan nenek untuk menjaganya.

“Ibu kanak-kanak terbabit bekerja menyebabkan dia terpaksa meninggalkan mangsa untuk dijaga neneknya yang tinggal dalam kawasan kampung yang sama.

“Ketika kejadian, kanak-kanak itu memberitahu yang dia mahu membuang air besar namun neneknya yang curiga menolak pintu bilik air sebelum mendapati cucunya itu tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kepala kanak-kanak terbabit ketika itu berada dalam besen yang airnya hanya paras pergelangan tangan dan ibunya yang tiba menghubungi ambulans dan jiran untuk meminta bantuan.

“Pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kanak-kanak terbabit sudah meninggal dunia dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit sawan sejak beberapa tahun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu perlu mengambil ubat sawan dua hari sekali setiap 12 jam,” katanya.

Zaidy juga menambah, tiada unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Jenazah murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Teluk Wang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang, semalam.

Gambar sekadar hiasan

Baca juga: “Pelanggan dari neraka”, punya sakan ‘order’ bermacam jenis kek tapi selepas itu senyap, siap block penjual

Baca juga: Tak mahu terlibat dengan parti politik, Adam Corrie nak jadi rakyat biasa sahaja