Malaysia Dateline

Nenek tetap bersemangat bangkit melawan

Bertudung labuh sehingga mungkin ada menganggapnya Muslimat Pas, Nashita Md Noor, 55, antara peserta konvoi bendera hitam semalam.

“Macam tak terfikir berapa usia, rasa macam dulu-dulu saja,” katanya ceria ketika ditanya Malaysia Dateline berkenaan motivasi yang mendorongnya untuk menyertai aksi anjuran kumpulan masyarakat sivil itu.

Beliau terlibat dalam aksi di jalan raya sejak era kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi. Lebih 10 tahun bergelumang dalam Gerakan Mansuh ISA (GMI). Nashita pernah ditahan bersama berbelas individu lagi lantaran menyertai aksi unjuk rasa membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2011.

Kini dalam era kerajaan Perikatan Nasional (PN) serentak ancaman wabak Covid-19, semangat nenek kepada seorang cucu berusia setahun itu tidak pernah luntur.

Malah, perjuangan menuntut kerajaan yang adil dalam jiwa nenek lulusan University of Wollongong New South Wales, Australia itu tidak pernah gentar.

Jiwa melawannya tambah membara untuk turun ke ibu negara semalam.

“Alhamdulillah, sebenarnya sebab dua orang anak saya, Asma’ (22 tahun) dan Asiah (20 tahun) di rumah yang bersemangat sangat.

“Apabila mereka nampak kempen bendera hitam dan konvoi itu di Twitter, mereka yang paling semangat, kongsi dan sebarkan.

“Bila nampak kempen ini, rasa macam ada harapan nak melawan,” kata isteri aktivis, Bad Latif Mansor yang juga mesra dikenali sebagai Abah Anas itu.

Nashita Md Noor

Nashita berpendapat aksi menjelang demonstrasi ‘#Lawan turun ke jalan raya’ yang dirancang pada 31 Julai itu merupakan ruang yang wajar dimanfaatkan oleh seluruh rakyat lebih-lebih lagi anak muda.

“Ada ruang selain lepas marah sesama kawan di kumpulan WhatsApp dan Facebook,” jawabnya ketika dihubungi hari ini.

Untuk rekod, Nashita antara 14 individu yang disoal siasat polis siang tadi susulan konvoi bendera hitam di ibu negara semalam.

Beliau dan lima aktivis ditemani peguam masing-masing disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields mulai jam 10 pagi tadi.

Berkongsikan pengalamannya disoal siasat polis, selain IPD Brickfields, beliau memberitahu mereka juga menempuh sesi soal siasat dengan pegawai dari IPD Dang Wangi.

“Dua sesi soal siasat oleh dua IPD bertanya soalan yang sama semuanya. Tidak tahu apa tujuannya,” kata beliau.

Menurutnya, sesi soal siasat dengan pegawai penyiasat dari dua IPD itu berlarutan dari jam 10 pagi hingga 1 petang.

“Rasa mengantuk, lapar semua ada. Hujan lebat (siang) tadi, mereka yang menunggu kami di luar dah masuk menunggu di dalam kereta.

“Kami pula tunggu giliran dipanggil (soal siasat) di ruang koridor yang kena tempias hujan lebat,” ceritanya pula di Facebook.

Mengakui proses soal siasat itu amat meletihkan dan menguji kesabaran, Nashita dan rakan-rakan aktivisnya bagaimanapun tidak menyimpan rasa marah terhadap pihak polis.

“Mereka juga menjalankan tugas yang diarahkan. Sampai ke pengetahuan kami tadi ada pegawai penyiasat yang bertugas tadi telah bekerja selama 24 jam,” kata Nashita lagi.