Nesma Airlines pilihan baru jemaah haji dan umrah

Jemaah haji dan umrah Malaysia kini mempunyai pilihan baru penerbangan apabila Nesma Airlines, syarikat penerbangan komuniti milik Nesma Holding Arab Saudi, memulakan penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Madinah, mulai 23 November ini.

Selain Kuala Lumpur, Nesma Airlines juga akan memulakan penerbangan dari Johor Bahru, Jakarta dan Surabaya secara berperingkat.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Anwar Basha Gaffoor Sheik, berkata Malaysia menjadi lokasi pertama di Asia bagi pihaknya menyediakan penerbangan sewa khas ke Madinah dan Jeddah, lapor Berita Harian Online.

Beliau berkata, laluan itu bukan hanya boleh meningkatkan jumlah jemaah umrah dan haji, malah memberikan lebih pilihan kepada syarikat pelancongan memilih penerbangan.

“Kami menyasarkan 100,000 penumpang bakal menggunakan perkhidmatan untuk musim umrah dan haji kali ini.

“Harga yang kami tawarkan juga lebih rendah daripada kebanyakan syarikat penerbangan lain, bermula daripada RM1,500 untuk laluan pergi balik.

“Malaysia dipilih sebagai lokasi baharu penerbangan kerana kepadatan penduduk Islam, begitu juga dengan Indonesia.

“Ia juga sebahagian daripada perancangan pelebaran perniagaan kami, selain menyokong inisiatif visi Arab Saudi 2030,” katanya selepas pelancaran Nesma Airlines, semalam.

Anwar berkata, pihaknya juga dalam perancangan memasuki pasaran negara Islam lain seperti India, Pakistan dan Bangladesh dalam tahun ini.

Ini kerana, katanya, Nesma Airlines ingin menyediakan sebanyak mungkin penerbangan dari negara Islam ke Jeddah dan Madinah bagi menunaikan umrah dan haji.

Bagi operasi di Malaysia dan Indonesia, Nesma Airlines melantik Alfajr Travel and Tours Sdn Bhd sebagai ejen perkhidmatan am bagi urusan penempahan tiket.

Sebanyak dua pesawat Boeing 777-200, yang mampu memuatkan 400 penumpang pada satu masa digunakan untuk penerbangan sewa khas dari Malaysia dan Indonesia, dengan kekerapan empat atau enam penerbangan seminggu.

Alfajr Travel & Tours bertindak sebagai agen perkhidmatan Nesma Airlines untuk Malaysia dan Indonesia bermula Februari 2017.

Untuk bulan November ini, ada lima penerbangan yang akan dibuat Nesma iaitu 23, 25, 27, 29, dan 30 November ini.

Alfajr menawarkan harga yang kompetitif, yaitu RM2,750 untuk musim biasa (low seasson) dan RM 3,250 untuk musim cuti dan Ramadhan.

 

CATEGORIES
TAGS