Malaysia Dateline

Nestle bekerjasama dengan Kedah bagi memulakan ladang kopi Robusta

Nestle Malaysia sedang memulakan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA), Lembaga Pembangunan Ekonomi Kedah, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia serta Pertubuhan Kami Anak Felda bagi menghidupkan semula sektor perladangan kopi.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd, Juan Aranols berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam menyediakan perniagaan untuk penanam kopi, khususnya di wilayah utara.

“Kami bercadang untuk melatih 200 peladang di bawah fasa perintisan dan bersama-sama dengan KSDA, kami mampu mengeluarkan 50,000 anak benih Robusta yang akan ditanam menjelang pertengahan 2020,” katanya kepada media selepas pelancaran program tersebut pada Selasa.

Nestle sekarang ini mempunyai dua kilang yang menghasilkan produk kopi, Nescafe, di Malaysia, dan konglomerat makanan dan minuman multinasional itu sedang melihat kepada penggunaan biji kopi tempatan dalam pengeluarannya.

“Kami kini mengimport 17,000 tan kopi daripada negara pengeluar kopi dan kami amat teruja untuk mengintegrasikan kopi yang dihasilkan di sini ke dalam rantaian nilai kami,” katanya lagi.

Aranols tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan program berkenaan ke negeri lain, sambil menambah bahawa syarikat itu telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi memastikan kejayaan program ini.

“Kami perlu memastikan bahawa kami mempunyai jenis kopi yang sesuai untuk menyesuaikan iklim serta tanah.

“Di bawah projek ini, Nestle akan menyediakan bahan penanaman dan sokongan agronomikal melalui sesi latihan dan demonstrasi di lapangan,” tambahnya.

— BERNAMA