Nestlé Skin Health buka pejabat di Malaysia

Nestlé Skin Health buka pejabat di Malaysia

 Nestlé Skin Health, pemimpin global yang memberi fokus dalam meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan penyelesaian berasaskan sains untuk kesihatan kulit, mengumumkan pembukaan pejabat baharu di Malaysia bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat berkenaan di rantau ini.

Sekutu di Malaysia adalah bukti komitmen syarikat berkenaan untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pengguna dengan lebih baik, pada masa sama, meneroka dengan lebih berkesan potensi pasaran yang semakin berkembang.

“Melalui kemunculan sulung ini di Kuala Lumpur, pengguna dan profesional penjagaan kesihatan di negara ini boleh mengharapkan lebih banyak lagi penyelesaian kesihatan kulit yang inovatif dan dibangunkan untuk melindungi, memberi khidmat dan meningkatkan kesihatan kulit,” kata Naib Presiden dan Ketua Pasaran Antarabangsa Nestlé Skin Health SA, Can Ongen, dalam satu kenyataan.

Dengan penduduk lebih 30 juta, Malaysia mempunyai ekonomi yang dinamik dan pelbagai selain terus menikmati pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan pengguna.

Produk penjagaan kulit sensitif sedang mengalami pertumbuhan menggalakkan, justeru mengesahkan potensi pasaran yang kukuh untuk Nestlé Skin Health.

Cetaphil, rangkaian penjagaan kesihatan pengguna syarikat berkenaan yang dirumus secara dermatologi, baru-baru ini dianugerahkan ‘Jenama Paling Dikehendaki Pelanggan’ oleh Watson’s, rangkaian kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan

Cetaphil Baby, satu lagi produk dalam rangkaian berkenaan, dianugerahkan ‘Jenama Mendapat Undi Paling Banyak Tahunan’ bagi kategori penjagaan kulit bayi oleh rangkaian produk penjagaan diri, Guardian, pada tahun lepas.

Pengurus Besar Pasaran Eksport Indonesia dan Asia Tenggara, Nael Itani, akan membimbing sekutu baharu ini di bawah pengawasan Ketua Hab Asia Tenggara, Fraser Halscheid. Pejabat Kuala Lumpur akan dikendalikan oleh pasukan tempatan, diketuai oleh Pengarah Komersial, Cindy Tiu.

Maklumat lanjut lawati https://www.nestleskinhealth.com.