Netizen baru perasan ada Jalil Hamid dalam iklan raya PKNS, rupanya ini ‘job’ pertama lepas 2 tahun tak dipanggil berlakon

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon serba boleh, Jalil Hamid yang biasa muncul di layar lebar dengan watak ‘abah-abah’, rupa-rupanya sudah dua tahun tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Dalam tempoh itu, pelakon berusia 67 tahun itu dilaporkan hanya duduk di rumah.

Namun, kehadiran 2024 memberi sinar baharu buat Jalil apabila mula menerima tawaran lakonan selepas lebih dua tahun.

Kemunculan aktor berkaliber itu dalam iklan komersial sempena Aidilfitri terbitan Perbadanan Kemajuan Nasional Selangor (PKNS) baru-baru ini mencuri perhatian peminat yang sudah sekian lama merindui melihat Jalil beraksi.

Meskipun babaknya tidak banyak dan hanya muncul di penghujung cerita, lakonan hebat ditonjolkan pemilik nama sebenar, Abdul Jalil Abdul Hamid dalam naskhah berjudul Conteng itu cukup meruntun hati hingga mendapat pujian ramai.

“Awal tahun ini saya ditawarkan membintangi filem Pendekar Lebar Kuping. Selepas itu, saya terbabit dalam drama Benih untuk siaran YouTube. Drama terbitan Ustaz Datuk Ahmad Husam ini bertujuan mencari dana bagi membina rumah orang tua-tua.

“Sebelum puasa tempoh hari, saya terima pula tawaran berlakon dalam iklan PKNS sempena Aidilfitri.

“Alhamdulillah, Allah berikan rezeki kembali dalam dunia lakonan selepas lebih dua tahun tiada tawaran,” katanya seperti dilapor BH Online.

Mengulas pembabitan dalam karya yang diterbitkan untuk pelantar media sosial, bintang legenda itu menyifatkan ia satu pengalaman baharu buatnya.

“Selain buat drama pendek untuk media sosial, saya juga terbabit dalam iklan atau kempen hari raya untuk beberapa produk.

“Meskipun hanya disiarkan di platform digital dan media sosial, namun dari segi tempoh penggambarannya tidak mengambil masa yang lama berbanding untuk siaran televisyen (TV).

“Dari segi bayaran memang banyak perbezaannya. Lebih 50 peratus beza dengan bayaran berlakon drama TV.

“Alhamdulillah, boleh juga saya bina kehidupan semula. Lepaslah nak bayar hutang tertunggak sepanjang bertahun-tahun tak kerja,” luahnya.

Berkongsi keadaan kesihatannya, penyandang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-11 itu meluahkan rasa syukur kerana tahap kesihatannya semakin baik.

“Saya bersyukur tahap kesihatan saya semakin pulih. Saya memang ada masalah jantung dan sebulan sekali saya perlu jalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Doakan semoga kesihatan saya bertambah baik dan dapat terus berkerja selepas ini,” ujar aktor berusia 67 tahun ini.

Sebelum ini, Jalil dilaporkan mengalami masalah jantung selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang pada Mac tahun lalu. Jalil lebih banyak menghabiskan masa berehat di rumah untuk pulih.

Baca juga: Patutlah orang Kedah panggil duit syiling sebagai kupang, rupanya ada kena mengena dengan Sultan dahulu