Malaysia Dateline

Netizen berang, semata beri laluan pada ‘VIP’, dua kereta terlibat kemalangan

Sejak semalam, tular di media sosial satu video yang memaparkan dua kenderaan terlibat dalam kemalangan dipercayai kerana memberi laluan kepada kereta ‘orang kenamaan’.

Menerusi video berdurasi 45 saat yang dimuat naik di Twitter, kelihatan sebuah kereta Perodua Kelisa telah melanggar belakang kereta Proton Wira yang dilihat berhenti secara mengejut kerana memberi laluan kepada kereta milik VIP.

Susulan kejadian tersebut, warganet meluahkan rasa marah dan tidak puas hati terutama apabila melihat polis pengiring yang berada di tempat kejadian membiarkan kemalangan tersebut tanpa memberi sebarang bantuan.

“VIP dgn polis buat tak tahu je tengok ada kemalangan depan mata yang berpunca daripada dia orang. ‘Common sense’ bro. Angin aku tengok dia orang rilek je lalu macam tak ada apa-apa berlaku kat situ,” tulis pengguna @Rafi_Addin.

Pengguna @HyeonjuMy pula menganggap tindakan polis pengiring sebagai tidak cerdik kerana memberhentikan kereta yang sedang laju.

“Lagi tak cerdik dia orang blah macam tu je. Tak boleh saman ke dia orang ni. Jika ada kehilangan nyawa, dia (VIP) salah kan?,” soalnya.

Ada juga pengguna Twitter yang memohon agar para peguam membantu mereka memfailkan saman terhadap VIP yang melayan rakyat marhaen tidak lebih hanya seperti ‘ulat’.

Tidak kurang ada juga pengguna yang berkongsi kisahnya terlibat dalam kemalangan semata-mata kerana memberi laluan kepada VIP lima tahun lepas.

“Berlaku pada saya pada tahun 2017. ‘VVIP lalu at the 199 traffic light (it was green for us)’ dan 4 kereta berderet terlibat kemalangan termasuk kereta saya. ‘Yes I cried because I was shocked and the VVIP and police just drove pass us’,” tulis @nazlynlyn.

Pada Disember tahun lalu, sebuah ambulans didakwa terpaksa diberhentikan di persimpangan jalan untuk memberi laluan kepada konvoi kenderaan orang kenamaan.

Isu tersebut tular secara meluas di media-media sosial dan mendapat kecaman hebat dari netizen kerana orang kenamaan dan polis pengiring didakwa tidak mempertimbangkan keperluan untuk memberi dahulu laluan kepada ambulans.

Kejadian ambulans diberhentikan itu berlaku selepas banjir buruk melanda Selangor dan ianya tular sehingga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan kenyataan media memperjelas situasi sebenar.