Mungkin disebabkan berita berkenaan rakyat negara ini yang ditahan polis Thailand baru-baru ini, ramai mula tertanya-tanya bagaimana keadaan rakyat Malaysia jika dipenjara di wilayah itu.
Apa yang mereka khuatir adalah isu halal haram makanan yang dihidangkan kepada pesalah.
Salah seorang pengguna TikTok, Wan Yoshiki ketika menjelaskan perkara itu berkata, makanan yang disediakan untuk banduan muslim sememangnya halal lebih-lebih lagi di Selatan Thailand.
Katanya, dapur untuk masakan halal dan tidak halal juga kebiasaannya akan diasingkan.
“Memang halal, tak payah runsing dan was-was. Tambah lagi kawasan Selatan Thailand ni tak ada masalah. Mereka asingkan dapur antara orang Islam dan bukan Islam.
“Tukang masak pun tukang masak Islam. Orang bukan Islam zon lain, orang Islam zon lain.
“Jadi pasal makanan tu anda tak payah was-was lah memang halal. Cuma tak lah sedap macam makan dekat luar tu. Nama pon penjara,” katanya dalam satu video di TikTok menjawab persoalan seorang pengguna TikTok kepadanya.
Pemuda itu berkata dia mendapat maklumat itu dari rakan-rakannya sendiri yang berkhidmat sebagai pegawai polis dan tentera.
“Bukan setakat di penjara. Di Thailand ni kalau katakan anda masuk askar, masuk polis sekalipun, baru-baru latihan dia asingkan (makanan) orang Islam dan bukan Islam. Dapur asing, tukang masak pun asing.
“Ini setakat info dari kawan-kawanlah. Kawan-kawan saya pun ada yang bekerja sebagai tentera, polis. Pasal makanan ni memang tak was was lah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa pengguna mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bukan setakat makanan dihidangkan halal, tetapi pesalah juga dibenarkan membaca al-Quran.
Ramai juga mengakui mereka baru tahu berkenaan hal itu.
Baca juga: Ada bunyi keluar lepas pasang kepala gas? Individu kongsi cara senang nak baiki ia!