Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) baru-baru ini memaklumkan bahawa pihak yang berniaga tanpa permit di kawasan Taman Melawati telah dikenakan tindakan.
Hal ini kerana pihak yang dipercayai menjalankan perniagaan dengan menggunakan kenderaan itu telah menyebabkan gangguan awam termasuklah lalu lintas kepada penduduk setempat.
Oleh yang demikian, satu kompaun telah dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin.
Perkara itu dimaklumkan oleh MPAJ menerusi satu perkongsian di platform Facebook di mana pihaknya mengakui sentiasa menyokong inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu ekonomi komuniti.
Walau bagaimanapun, MPAJ berharap agar semua pihak termasuk usahawan dapat mematuhi peraturan dan juga undang-undang yang telah ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama.
“Pemantauan berterusan bagi aktiviti menjaja tanpa lesen di sekitar kawasan pentadbiran. Sepanjang aktiviti pemantauan, MPAJ telah mengesan beberapa lokasi aktiviti menjaja tanpa lesen yang menyebabkan gangguan awam.
“Satu sesi pertemuan telah diatur dengan pihak berkaitan untuk berbincang serta mencari penyelesaian yang terbaik agar situasi seumpama ini tidak berulang dan menjejaskan ketenteraman awam selain usaha untuk membantu pembangunan usahawan tempatan sebagai langkah proaktif.
“MPAJ sentiasa beriltizam untuk terus memperkukuh kerjasama dengan seluruh komuniti dalam usaha membina sebuah persekitaran yang lebih selamat, teratur dan sejahtera untuk semua,” katanya dalam perkongsian itu.
Gambar aktiviti pemantauan dijalankan pada 25 sehingga 27 April itu turut dikongsikan dalam hantaran sama yang mana rata-rata pengguna media sosial menduga bahawa perniagaan itu dimiliki seorang pempengaruh sensasi.
Tinjauan di ruangan komen pula mendapati penduduk setempat mengadu bahawa pempengaruh yang menjual piza itu masih menjalankan perniagaan di sekitar Taman Melawati meskipun telah dikenakan tindakan.
Jesturu itu, mereka menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pempengaruh berkenaan kerana telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Semalam dia meniaga dekat tempat parkir di tepi pusat beli-belah. Piza berharga RM150 tetapi jalankan perniagaan tanpa lesen. Sentiasa bertukar tempat dan masa beroperasi. Selalunya setiap hari Jumaat atau Sabtu dan Ahad. Mengundang jalan sesak sebab ganggu trafik,” kesal seorang pengguna.
“Mereka masih lagi meniaga di pusat beli-belah di sekitar Melawati seolah-oleh tidak gentar kepada arahan MPAJ. Selaku pempengaruh, gerak-geri mereka diperhatikan. Hal ini boleh menjejaskan kepercayaan orang awam terhadap PBT. Harap tindakan lebih tegas boleh diambil.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Aktif sejak tahun 80-an, pelakon veteran akui tiada tawaran berlakon sejak terkena serangan jantung