Netizen dakwa Ryan Bakery dibayar hampir RM500k untuk iklan raya Petronas 30 saat

Oleh KIM SYAZIE

Bermula sebagai pencipta kandungan, Ryan Bakery kini mula mencipta nama sebagai pempengaruh media sosial yang paling “laku keras”.

Kemunculannya di sebuah iklan syarikat gergasi, Petronas pada April lalu melebarkan lagi pengaruh dan peluangnya dikenali.

Seorang pengguna media sosial mendakwa Ryan Bakery menerima bayaran lumayan untuk sebuah iklan raya syarikat itu yang berdurasi 30 saat.

Dalam satu tangkap layar tular, individu mendakwa pempengaruh berusia 29 tahun itu dibayar RM500,000 untuk satu iklan yang bersamaan setengah juta ringgit.

“Sumber dari syarikat lanyard hijau memaklumkan, Ryan Bakery dapat RM500k untuk iklan raya tu”.

Salah seorang individu yang mendakwa dia kakitangan Petronas turut mengiyakan Ryan dibayar dengan jumlah yang besar namun katanya bayaran sebenar tidak sampai RM500k. 

“Saya sebagai kakitangan Petronas, ya tapi (bayaran sebenar) bawah sikit”.

Perkongsian itu langsung menjadi bualan netizen dan meluahkan rasa terkejut dengan angka yang diterima oleh pempengaruh TikTok berasal dari Perak ini.

Sementara sebahagian lain pula merasakan bayaran yang dinyatakan sememangnya logik kerana pengaruh dan populariti Ryan Bakery yang cukup besar dalam masyarakat. 

Beberapa pengguna menjelaskan bahawa tugas digalas Ryan tidak mudah dan pastinya memerlukan satu pasukan besar untuk membantu.

Baca juga: Tak suka pegang sos botol comot? Guna satu bahan ni, ‘confirm’ tak ada kesan lagi!