Netizen gelarkan Izzue Islam suami ‘green forest’, layanan terhadap isteri dikagumi ramai

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman di media sosial memaparkan pelakon, Izzue Islam yang sedang menangis berikutan tidak mampu lagi menahan kesedihannya.

Rupa-rupanya, Izzue gagal menahan sebaknya kerana tidak boleh menggambarkan kehidupan isterinya iaitu Awin Nurin sekiranya dirinya dijemput Illahi terlebih dahulu.

Pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan itu menyifatkan Awin sebagai individu sangat istimewa hingga tiada siapa boleh melayani isterinya seperti dirinya.

“Seandainya aku pergi dahulu, tak tahulah sebab benda ini Allah yang susunkan. Aku nak ada orang yang boleh melayan dia (Awin), macam mana aku layan dia.

“Aku tak tahu sebab Awin ini dia sangat istimewa. Dia manja dan ada banyak benda yang orang lain tak boleh buat, aku sahaja boleh buat.

“Jadi kalau aku tak ada nanti, siapa yang nak buat?,” kata pelakon berusia 34 tahun itu sambil air matanya berguguran ekoran tidak dapat menahan sebaknya.

@syanxrie

oh to be loved by a MAN🙁 @Izzue Islam @awin.nurin #foryou #fyp #fypシ

♬ No Surprises – Radiohead

Dalam rakaman berkenaan, Izzue yang juga merupakan penyanyi dan pengacara itu turut tidak dapat menjelaskan sebesar manakah kasih sayangnya terhadap isteri.

Izzue juga mengakui mahu berada di sisi Awin atau nama sebenarnya, Nurinafilah Waharudin setiap masa selain menyifatkan hanya Tuhan tahu sayangnya terhadap wanita itu.

“Setiap masa dan saat memang aku nak dia ada dengan aku. Kalau tanya berapa banyak sayang aku dekat dia, aku tak boleh nak cakap sebab tak tahu (banyak mana).

“Tuhan sahaja yang tahu berapa banyak sayangnya aku kepadanya,” ujar anak kelahiran Kota Bharu Kelantan itu dalam rakaman yang dikongsikan oleh pengguna TikTok itu.

Tinjuan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok terutamanya wanita begitu tersebut dengan perkongsian Izzue dan menyifatkannya sebagai suami ‘green forest’.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa Awin adalah isteri yang bertuah kerana memiliki suami penyayang dan setia seperti Izzue selain mendoakan agar pasangan itu dikurniakan zuriat serta kekal bahagia hingga ke syurga.

Sekadar info, Izzue dan Awin melangsungkan perkahwinan mereka pada Jun 2013 lalu namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri.

Baca juga: Naikkan berat lebih 20kg demi watak, Shaheizy Sam akui cepat mengah, berpeluh