Proses untuk memiliki kereta di Malaysia yang begitu mudah sehinggakan boleh membeli kenderaan tanpa memerlukan duit muka, menjadi perbincangan hangat netizen Indonesia.
Mereka membuat perbandingan kos yang perlu dibelanjakan untuk memiliki kenderaan di Malaysia dan Indonesia.
Kereta yang dipilih untuk dibandingkan adalah Toyota Avanza 1.5 yang terdapat di dua-dua negara.
Bayaran cukai jalan di Malaysia (tanpa insurans) untuk kenderaan itu adalah sekitar RM100 hingga RM120 setahun.
Berbanding Indonesia, cukai jalan sahaja berharga sekitar RM917.
Indonesia mengenakan caj ke atas kenderaan yang berpindah daerah. Sesetengah daerah memerlukan mereka mengemaskini dokumen perpindahan daerah dan membayar kos untuk menerbitkan dokumen itu sekitar RM65.40.
Manakala Malaysia tidak mengenakan sebarang caj. Rakyat Malaysia bebas membeli kenderaan dari mana-mana negeri untuk dibawa ke negeri asal.
Indonesia mewajibkan rakyatnya memperbaharui nombor plat kereta setiap lima tahun. Ini termasuk menukar plat fizikal dan memperbaharui dokumen pendaftaran kenderaan (STNK – Surat Tanda Nombor Kenderaan).
Kos untuk perbaharui dokumen STNK adalah sebanyak RM52.30. Jadi ini salah satu kos tambahan yang rakyat Indonesia perlu tanggung berbanding rakyat Malaysia.
Untuk urusan menukar pemilikan kenderaan secara rasmi – dari nama pemilik lama kepada nama pemilik baru dalam dokumen rasmi kenderaan (macam geran), kos yang perlu dibayar rakyat Malaysia adalah RM1.80.
Di Indonesia, ia melibatkan proses dokumentasi yang agak rumit dan tentunya setiap dokumen perlu dibayar.
Setelah menyenaraikan beberapa perbandingan, bukan sahaja warga Indonesia terkejut dengan harga cukai jalan yang murah di negara ni, netizen Malaysia juga begitu terkejut melihat banyaknya kos dan dokumen yang diperlukan untuk membeli kereta di negara seberang.
Netizen seberang berkata, apabila negara yang terlalu banyak rasuah dan korupsi, maka semakin banyak caj-caj yang tidak perlu dikenakan kepada rakyat.