Netizen Indonesia tergamam dengar alasan peminta sedekah tolak duit, “jika saya ambil saya perlu jawab di akhirat”

Oleh KIM SYAZIE

Jarang-jarang berlaku, seorang peminta sedekah menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen Indonesia selepas dia menolak wang yang diberikan seorang individu kepadanya kerana jumlahnya terlalu banyak.

Menerusi sebuah video tular yang dimuat naik di Instagram oleh akaun @santripedulisosial, warga emas berkenaan dilihat enggan menerima wang yang diberikan oleh seorang lelaki. 

Katanya, dia tidak berani mengambil wang dengan jumlah yang banyak.

“Saya tidak boleh menerima wang sebanyak itu, saya tidak berani,” kata peminta sedekah itu. 

“Jika saya ambil, saya harus bertanggungjawab dan menjawab di akhirat kelak,” tambahnya lagi seperti dilapor Agensi.

Selepas enggan menerima wang itu, lelaki tersebut kelihatan pasrah lalu menuruti permintaannya untuk membelikan nasi sahaja.  

Rakaman itu menjadi tular dan mengundang perhatian orang ramai.

“Imannya sudah sampai di fasa paling tinggi, bukan sembarangan Masya-Allah,” kata seorang pengguna laman sosial. 

“Ilmu warga emas itu sangat tinggi dan luar biasa,” kata pengguna lain.

Baca juga: Baru tahu jenis pelaburan paling untung antara wang, tanah atau emas, ini jawapan penasihat kewangan